SUKAN

Lebih 20 Atlet Para Dijangka Layak Ke Paris 2024

08/02/2024 03:14 PM

KUALA LUMPUR, 8 Feb (Bernama) -- Kira-kira 20 hingga 25 atlet daripada tujuh sukan dijangka membawa cabaran Malaysia ke Sukan Paralimpik Paris 2024 berlangsung dari 28 Ogos hingga 8 Sept depan.

Setiausaha Agung Majlis Paralimpik Malaysia (MPM) Datuk R Subramaniam berkata setakat ini tujuh atlet daripada sukan olahraga, memanah dan berbasikal telah mengesahkan slot ke Paris.

Beliau berkata jumlah sebenar atlet yang layak akan diketahui dalam beberapa bulan akan datang susulan kejohanan kelayakan yang bakal disertai oleh atlet dari beberapa sukan seperti badminton, boccia, powerlifting dan renang.

Subramaniam berkata selain slot secara merit, MPM juga menjangkakan menerima slot bipartite dan tiket wild card untuk temasya itu menjelang Mei ini.

“Tumpuan kita adalah untuk mengekalkan tiga pingat emas dimenangi pada dua edisi terdahulu, atau pencapaian lebih baik daripada sebelumnya,” katanya kepada Bernama ketika ditemui pada Allez Les Champions anjuran Kedutaan Perancis di sini hari ini.

Pada masa sama, Subramanian menasihati kesemua atlet para negara supaya kuat dari segi mental dalam memburu kelayakan ke Sukan Olimpik.

“Keutamaan kita adalah untuk lebih ramai atlet layak. Setakat ini, kita mendapat sokongan yang baik daripada kerajaan melalui Majlis Sukan Negara (MSN),” katanya.

Pencapaian terbaik Malaysia sejak menyertai edisi pertama Sukan Paralimpik pada 1972 di Heidelberg, Jerman adalah di Tokyo 2020, dengan meraih tiga pingat emas dan dua perak, mengatasi pencapaian tiga emas dan satu gangsa di Rio 2016.

Pada edisi Tokyo 2020, Datuk Abdul Latif Romly mengekalkan pingat emas acara lompat jauh lelaki T20, manakala dua lagi emas dimenangi Cheah Liek Hou (badminton perseorangan SU5) dan Bonnie Bunyau Gustin (powerlifting kategori 72 kg).

Pingat perak diperoleh menerusi Jong Yee Khie (powerlifting kategori 107kg) dan Chew Wei Lun (boccia BC1).

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan