AM

WARGA KPT DISERU UBAH BUDAYA DAN MENTALITI KERJA, BEKERJASAMA LAKSANA DASAR

06/02/2024 09:22 PM

PUTRAJAYA, 6 Feb (Bernama) -- Warga Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) diseru agar mengubah budaya dan mentaliti bekerja daripada (saya) kepada we (kami) dalam usaha ke arah menjadi sebuah organisasi yang efektif dan cemerlang bagi melaksanakan dasar-dasar kementerian itu.

Menteri Pendidikan Tinggi Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir ketika berucap semasa perhimpunan bulanan KPT yang disiarkan secara langsung menerusi laman Facebook rasmi KPT berkata bekerja secara silo tidak mampu menggerakkan satu perubahan secara bersama yang dapat dilihat ketika memulakan tugas untuk menerajui jabatan itu. 

"Apabila saya masuk, (situasi) ini tidak sihat kerana kita bekerja dalam silo, kau jaga kau aku jaga aku, masing-masing bersaing tunjuk mereka yang terbaik kepada ketua. Namun, ketua yang baik akan tahu siapa yang 'kipas' bos dan siapa yang membuat bekerja.

"Saya nak pecahkan tradisi di dalam sebuah banglo kecil, pertama sekali dengan runtuhkan semua yang dibuat sekatan atau partition, hal ini kerana partition yang halang kita bekerjasama antara satu sama lain," katanya.

Beliau berkata perkara itu ialah hala tuju dan pembaharuan yang hendak dilakukan supaya kakitangan kementerian berkenaan menukar cara dan budaya bekerja, dengan bekerjasama antara satu sama lain antara jabatan. 

Sementara itu, Zambry berkata tiada sebarang perubahan dalam dasar-dasar pendidikan tinggi yang telah dirancang oleh menteri terdahulu dan ia akan terus dilaksanakan pada tahun ini dengan sedikit penambahbaikan. 

"Seperti kita tahu menterinya baharu, tahun baharu jadi apa yang nak disampaikan ialah matlamat untuk bersama-sama laksanakan agenda kita dan bukannya matlamat daripada seorang menteri (beliau sendiri).

"Kita tidak buat perkara ini atas perancangan menteri dulu buat lain, menteri sekarang buat lain ... saya tekankan berkali-kali, hal ini merupakan dasar pendidikan tinggi negara yang tidak boleh diputus-putuskan," katanya. 

Pada majlis itu, Zambry turut melancarkan Portal Pusat Sumber KPT yang telah dibangunkan oleh Bahagian Khidmat Pengurusan melalui Pusat Sumber KPT bagi mempertingkatkan kemahiran warga KPT sebagai pekerja yang bermaklumat, sekali gus menyemarakkan literasi membaca dalam kalangan warga KPT. 

-- BERNAMA

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan