AM

SULTAN SELANGOR BERKENAN ISYTIHAR MAJLIS PERBANDARAN KLANG SEBAGAI MAJLIS BANDARAYA DIRAJA KLANG

05/02/2024 09:17 PM

KLANG, 5 Feb (Bernama) -- Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah hari ini berkenan mengisytiharkan Majlis Perbandaran Klang sebagai Majlis Bandaraya Diraja Klang (MBDK) berkuat kuasa 23 Nov tahun lepas.

Sultan Selangor turut berkenan melantik Datin Noraini Roslan sebagai Datuk Bandar Majlis Bandaraya Diraja Klang mengikut Subseksyen 10 (1) Akta Kerajaan Tempatan 1976.

“Beta, Sultan Sharafuddin Idris Shah Alhaj Ibni Almarhum Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah Alhaj, dengan ini mengisytiharkan dan menetapkan bahawa Majlis Perbandaran Klang bermula 23 Nov 2023, akan menjadi sebuah Bandar Raya Diraja buat selama-lamanya dan hendaklah disebut sebagai Majlis Bandaraya Diraja Klang.

“Oleh yang demikian, gelaran Yang Dipertua Majlis Perbandaran Klang, hendaklah ditafsirkan sebagai Datuk Bandar Majlis Bandaraya Diraja Klang manakala Ahli-Ahli Majlis Perbandaran Klang, hendaklah ditafsirkan sebagai Ahli-Ahli Majlis Bandaraya Diraja Klang," titah baginda pada majlis pengisytiharan tersebut di sini, hari ini.

MBDK adalah Majlis Bandaraya Diraja ketiga di negara ini selepas Majlis Bandaraya Diraja Alor Setar dan Majlis Bandaraya Diraja Johor Bahru.

-- BERNAMA










BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 IFLIX dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan