AM

Kuskop Jamin Bantu Mudahkan Usahawan Pks Kembangkan Perniagaan - Ramanan

03/02/2024 04:23 PM

KUALA LUMPUR, 3 Feb (Bernama) -- Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (KUSKOP) memberi jaminan untuk membantu memudahkan pemain industri perusahaan kecil dan sederhana (PKS) mengembangkan lagi pernigaan mereka termasuk dari aspek pembiayaan kewangan.  

Timbalan Menterinya Datuk R. Ramanan berkata pihaknya juga telah mengenal pasti isu-isu penting yang dihadapi PKS yang memerlukan perhatian kerajaan susulan sesi perbincangan dengan Dewan Perniagaan dan Perindustrian India Muslim Malaysia (MIMCOIN).

“Saya sudah dengar dengan mendalam, antara masalah dihadapi semua PKS adalah bagaimana mereka boleh membangunkan (kembangkan) perniagaan mereka, dalam aspek untuk dapatkan bantuan (kewangan), infrastruktur dan jalinan hubungan,” katanya pada sidang media selepas merasmikan Kongres PKS Keempat anjuran MIMCOIN di sini hari ini.

Beliau percaya Kerajaan MADANI menerusi pelbagai agensi seperti SME Corp, Bank Rakyat dan Amanah Ikhtiar Malaysia (AIM) berupaya membantu PKS berkenaan dari aspek pembiayaan kewangan, bimbingan keusahawanan, geran sepadan dan jalinan hubungan.

Mengenai perbincangannya dengan MIMCOIN berkenaan pelbagai isu dihadapi PKS, beliau berharap MIMCOIN boleh menjadi badan penghubung antara kementeriannya dan pemain-pemain PKS dalam mengatasi apa juga permasalahan yang dihadapi.

 “MIMCOIN sekarang mempunyai lebih 1,000 SME di bawahnya, jadi jika boleh, MIMCOIN ini menjadi jurucakap kepada mereka (usahawan PKS) untuk membawa isu-isu yang dihadapi ke KUSKOP dan agensi-agensi berkaitan," katanya.

Terdahulu dalam ucapannya, Ramanan berkata Kongres PKS itu adalah platform terbaik dalam berkongsi ilmu berhubung keusahawanan, motivasi dan meningkatkan rangkaian hubungan antara pemain industri PKS.

Turut hadir Pengerusi The Economic Club of Kuala Lumpur (ECKL) Datuk Seri Mohd Iqbal Rawther, Presiden MIMCOIN Datuk Jamarulkan M.S Kadir dan Pengerusi Penganjur Kongres PKS Keempat Datuk Abdul Hamid P.V Abdu.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan