KUALA TERENGGANU, 2 Feb (Bernama) -- Bukan lagi khabar angin, bekas pemain tengah Kuala Lumpur City FC (KL City FC), Akram Mahinan kini sah menjadi milik Terengganu FC (TFC).
Ketua Pegawai Eksekutif Terengganu Football Club Sdn Bhd (TFCSB) Mohd Sabri Abas berkata pemain kelahiran Kedah berusia 31 tahun itu telah menandatangani kontrak selama setahun dengan skuad Penyu.
Beliau berkata kehadiran Akram diharap dapat memperkuat jentera tengah TFC untuk mengharungi Liga Malaysia (Liga M) sekali gus meraih kejayaan lebih cemerlang berbanding musim lepas.
"Akram antara pemain yang memiliki kekuatan fizikal cukup baik dan sering mempamer aksi agresif dalam bertahan.
"Beliau antara pemain penting yang membawa KL City FC ke pusingan akhir Piala Konfederasi Asia (AFC) 2022 dan naib juara Piala FA 2023," katanya dalam kenyataan hari ini.
Dalam pada itu, Akram yang juga bekas pemain kebangsaan berkata beliau memilih untuk berhijrah ke Terengganu setelah tertarik dengan corak kejurulatihan ketua jurulatih Skuad Penyu, Tomislav Steinbruckner.
Selain itu, menurutnya TFC juga memiliki reputasi yang baik dan merupakan antara kelab utama di Liga M yang disegani kawan atau lawan.
Sebelum menyertai TFC, Akram yang bakal menyarung jersi nombor 14 itu pernah beraksi bersama pasukan Johor Darul Ta'zim (JDT), PKNS FC dan Kedah Darul Aman (KDA) FC.
Beliau juga pernah mewakili negara bersama skuad bawah 19 tahun (U-19) di Kejohanan Remaja B-19 Piala AFF 2011.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial