EKONOMI

Firma Penyelidikan Jangka Pemulihan Penuh Trafik Penumpang Pada 2024

02/02/2024 01:55 PM

KUALA LUMPUR, 2 Feb (Bernama) -- Trafik penumpang udara dijangka pulih sepenuhnya tahun ini, dengan unjuran awal memaparkan pertumbuhan empat peratus berbanding dengan paras prapandemik pada 2019, kata MIDF Research.

Menurut firma penyelidikan itu, perkembangan utama yang diramalkan adalah pengaktifan semula sepenuhnya kumpulan pesawat AirAsia yang dijadualkan pada suku pertama 2024 berikutan kelewatan awal, yang sewajarnya memangkin pemulihan sepenuhnya trafik penumpang udara.

“Kemasukan tanpa visa untuk penumpang China dan India turut dijangka menyumbang kepada pemulihan selanjutnya bagi rantau Asia Timur Laut, memandangkan sektor bukan Asean menyusuli dengan pemulihan 73 peratus pada 2023,” katanya dalam nota hari.

MIDF berkata pengecualian visa yang dilaksanakan sejak Disember 2023 dan seterusnya belum memberikan impak ketara, berkemungkinan disebabkan oleh pertumbuhan kapasiti tempat duduk secara beransur-ansur yang disesuaikan dengan permintaan.

Bagaimanapun, katanya, rekod kapasiti tempat duduk yang terkini bagi syarikat penerbangan itu pada 2024 menunjukkan peningkatan sebanyak 13.0 peratus tahun ke tahun.

Sementara itu, RHB Research berkata Suruhanjaya Penerbangan Malaysia (Mavcom) menjangkakan trafik penumpang di Malaysia mencapai antara 93.9 juta dan 107.1 juta penumpang tahun ini, menandakan pemulihan sepenuhnya.

Ramalan trafik penumpang 2024 di peringkat dalaman berjumlah 105.9 juta, turut memaparkan pemulihan penuh (trafik penumpang 2019: 105.2 juta).

“Meskipun kami menyifatkan China sebagai lebih perlahan, penyambungan semula kapasiti tempat duduk dan kemudahan pengecualian visa untuk warganegara dari China dan India sewajarnya menjadi pemangkin kukuh pada 2024, merangsang pelancongan antarabangsa Malaysia,” kata RHB Research.

Selain itu, katanya lapangan terbang di Malaysia menerima sebanyak 4.0 juta penumpang antarabangsa pada Disember 2023 -- trafik bulanan tertinggi sejak Februari 2020.

Angka itu menjadikan jumlah keseluruhan tahun penuh kepada 81.9 juta penumpang (83.2 peratus berbanding paras pada 2019), dengan pergerakan antarabangsa dan domestik masing-masing pada 38.6 juta dan 43.3 juta.

“Purata faktor muatan yang dicatatkan pada 2023 sebanyak 77.2 peratus, dengan Disember 2023 mempunyai purata faktor muatan tertinggi bagi sektor antarabangsa dan domestik pada 80 peratus,” kata firma penyelidikan itu.

Ia mengekalkan saranan “beli” terhadap Malaysia Airports Holdings Bhd (MAHB) dengan harga sasaran (TP) sebanyak RM8.66, dan memaklumkan antara risiko utama adalah kelewatan seterusnya untuk memulakan rangka kerja kawal selia; jumlah penumpang lebih rendah berbanding jangkaan, caj perkhidmatan penumpang dan caj tempat letak kereta dan pendaratan; serta perbelanjaan operasi yang lebih tinggi daripada jangkaan.

Pada masa sama, MIDF Research mengekalkan saranan “neutral” terhadap Capital A Bhd (TP: 80 sen) dan MAHB (TP: RM7.80).

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan