AM

Dbkl Anjur 11 Program Sempena Hari Wilayah Persekutuan

31/01/2024 01:11 PM

KUALA LUMPUR, 31 Jan (Bernama) -- Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) menganjurkan 11 program sempena Sambutan Hari Wilayah Persekutuan, esok. 

DBKL dalam kenyataan hari ini memaklumkan program berkenaan telah dianjurkan bermula Oktober tahun lepas hingga 14 Julai ini. 

Antara program terbabit ialah 1 Suara @ 50 WP yang dianjurkan bermula Oktober lepas hingga sepanjang Februari ini, Teaterikal Gemuruh (23 hingga 25 Feb), Prosperity Walk dan Sambutan Tahun Baharu Cina  (24 Feb), Marathon Basikal @GFNY Kuala Lumpur (25 Feb) serta Karnival 50WP 2024 (13 dan 14 Julai). 

Menurut kenyataan itu, DBKL telah menghiasi jalan utama di ibu negara seperti Jalan Raja Laut, Jalan Raja, Jalan Tuanku Abdul Rahman dan Jalan Sultan Ismail dengan memasang 3,000 gegantung bendera Wilayah Persekutuan. 

Sebanyak 1,550 bendera Wilayah Persekutuan turut dipasang pada tiang lampu sekitar ibu kota dan pihak berkuasa tempatan (PBT) itu turut mengeluarkan surat kepada pemilik bangunan untuk bersama-sama memeriahkan sambutan dengan memasang bendera Wilayah Persekutuan dan bendera Kuala Lumpur di premis mereka.

"Semoga sambutan Hari Wilayah Persekutuan Tahun 2024 disambut gembira oleh seluruh warga kota. 

"Semarakkan hari penuh bermakna ini dengan hiasan bendera Wilayah Persekutuan di kediaman masing-masing," menurut kenyataan itu. 

-- BERNAMA 

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan