SUKAN

Piala Dunia: Skuad Hoki 5s Lelaki Tempah Tiket Final Bertemu Belanda

31/01/2024 08:11 AM

KUALA LUMPUR, 31 Jan (Bernama) -- Skuad hoki 5 sebelah (5s) lelaki negara memahat sejarah tersendiri dengan kejayaan melangkah ke pentas final edisi sulung Kejohanan Hoki 5s Piala Dunia 2024 di Muscat, Oman selepas menewaskan Poland 4-3 pada aksi separuh akhir berlangsung awal pagi tadi waktu Malaysia.

Pada pertembungan berlangsung di Hockey Oman Venue itu, skuad bimbingan Wallace Tan berbekalkan semangat juang tinggi terlebih dahulu membuka akaun jaringan menerusi pukulan penalti Muhammad Arif Syafie Ishak pada minit ketujuh disusuli Poland yang menyamakan kedudukan selang dua minit kemudian menerusi jaringan padang Damian Jarzembowski.

Bersambung babak kedua perlawanan, tiga gol terhasil daripada skuad 5s lelaki negara  menerusi Mohamad Kamarulzaman Kamaruddin pada minit ke-19 diikuti kapten pasukan Mohamad Akhimullah Anuar Esook masing-masing pada minit ke-22 dan ke-24 sekali gus memastikan kedudukan selesa buat negara untuk mendahului 4-1 di depan Poland.

Poland bangkit merapatkan kedudukan apabila mencetak dua gol masing-masing menerusi Wojciech Rutkowski (27') dan Jakub Holosyniuk (30'), namun ternyata tidak cukup untuk mengekang hasrat  skuad negara untuk mara ke peringkat seterusnya.

Skuad negara dijadualkan bertemu Belanda di pentas final pada 12.20 tengah malam ini.

"Apa yang boleh dikatakan tentang perlawanan hari ini, pemain Malaysia telah memberikan segalanya berjuang sehingga ke saat akhir.

"Yang terakhir tu Poland dapat cabar tapi kita dapat selamatkan sekali gus memenangi perlawanan ini," kata Wallace menerusi video dikongsikan Konfederasi Hoki Malaysia (KHM) kepada media.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan