AM

Fahmi, Saifuddin, Serta Tiga Menteri Jpm Merafak Sembah Pelantikan Tunku Mahkota Ismail

28/01/2024 11:20 PM

KUALA LUMPUR, 28 Jan (Bernama) -- Menteri Komunikasi Fahmi Fadzil menerusi media sosial  Facebooknya merafak sembah setinggi-tinggi tahniah atas pelantikan Tunku Mahkota Johor Tunku Ismail Sultan Ibrahim sebagai Pemangku Sultan Johor hari ini.

“Dirgahayu Tuanku! Daulat Tuanku!,” katanya.

Dalam pada itu, beberapa jemaah menteri turut merafak sembah dan menitipkan doa dan kesejahteraan kepada Tunku Mahkota Ismail serta keluarganya.

Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail, selain menjunjung kasih kepada baginda, beliau  turut mendoakan agar Pemangku Sultan Johor itu dan keluarga sentiasa dirahmati serta berada di bawah lindungan Allah SWT.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan) Dr Zaliha Mustafa turut merafak sembah dengan ucapan setinggi-tinggi  tahniah dan ucap selamat kepada Tunku Mahkota Ismail.

“Patik mendoakan agar DYAM Tunku Mahkota Ismail serta seluruh kaum kerabat dikurnia dan dilimpahi ramat, keberkatan, kemuliaan dan keafiatan dalam menaungi negeri Johor Darul Ta'zim,” katanya dalam hantaran di media sosial.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Datuk Dr Mohd Na'im Mokhtar dan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi) Datuk Seri Azalina Othman Said masing-masing turut merafak sembah atas pelantikan itu serta mendoakan kesejahteraan Tunku Mahkota Ismail.

“Daulat Tuanku.  Allah Berkati Johor,” kata Azalina.

-- BERNAMA

 

 

 

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan