ALOR SETAR, 28 Jan (Bernama) -- Persatuan Sepaktakraw Malaysia (PSM) telah mengenal pasti 24 pemain bawah 21 tahun untuk diserap dalam skuad Malaysia B, tahun ini.
Presiden PSM Datuk Mohd Sumali Reduan berkata pihaknya akan meneliti setiap pemain dan memilih 15 daripadanya yang kemudian akan dilatih sehingga boleh dipilih ke dalam skuad kebangsaan.
"Kita belum senarai pendek lagi untuk skuad pelapis atau pun Malaysia B sebelum ini, sebab kita nak tunggu kejohanan Piala Emas Khir Johari berakhir dulu, baru kita menyenaraikan semua pemain.
"Kita memerlukan 15 pemain dalam pasukan skuad Malaysia B, setakat ini kita dah kenal pasti dah ada senarai nama berdasarkan prestasi yang terkini semasa (kejohanan) Piala Emas Khir Johari," katanya.
Beliau ditemui pemberita selepas tamat perlawanan akhir Kejohanan Sepak Takraw Piala Emas Khir Johari ke-57 yang menyaksikan Melaka menang 2-1 menentang Pulau Pinang di Stadium Sultan Abdul Halim di sini, semalam.
Mohd Sumali berkata walaupun skuad Malaysia B boleh diisi pemain berusia antara 22 hingga 24 tahun, pihaknya mahu melengkapkan senarai skuad itu dengan pemain berusia 21 tahun dan ke bawah bagi memberi pendedahan dan peluang kepada pemain muda.
"Ini memberikan harapan yang besar, selepas ini kita harap setahun atau dua tahun akan datang merekalah, jika tidak semua mungkin sebahagian besar daripada mereka akan berada dalam skuad kebangsaan kita," katanya.
Mengulas mengenai Kejohanan Sepak Takraw Piala Emas Khir Johari ke-57 yang berlangsung mulai 22 Jan lepas, Mohd Sumali berkata ia berjaya menonjolkan bakat baharu sukan itu dalam kalangan pemain muda.
"Saya lihat ada persaingan antara pemain muda dengan pemain senior, ada pemain berusia di bawah 21 tahun dah boleh bersaing dengan pemain yang pernah mewakili pasukan kebangsaan, ini satu petanda yang sihat, yang positif dan kita kena dedahkan lebih banyak kejohanan kepada pemain-pemain," katanya.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial