AM

BANGUNAN LAMA BNM DI SHAH ALAM BAKAL JADI GALERI LUKISAN

27/01/2024 07:09 PM

SHAH ALAM, 27 Jan (Bernama) -- Kerajaan Selangor akan menjadikan bangunan lama milik Bank Negara Malaysia (BNM) di Seksyen 14 di sini sebagai galeri lukisan.

Exco Perumahan dan Kebudayaan Borhan Aman Shah berkata galeri baharu yang akan dinamakan sebagai Galeri Shah Alam itu dijangka beroperasi dua tahun lagi dan pengubahsuaian bangunan itu bakal menelan belanja lebih RM30 juta.

Beliau berkata bangunan lama itu dibeli kerajaan negeri dua tahun lepas dengan nilai RM38 juta dan kini dalam proses mendapatkan rangka lukisan konsep daripada Jabatan Kerja Raya (JKR).

“Sekarang kita tengah buat pengubahsuaian untuk runtuhkan dahulu struktur dalam bangunan dan akan jadikan bangunan itu Galeri Shah Alam yang baharu. 

“Untuk bangunan baharu yang akan kita ubah suai ini, sudah ada kelebihan bilik kebal dan sebelum bangunan itu dibeli, kita (kerajaan negeri) sudah minta perkenan Tuanku (Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah) sekiranya baginda berkenan meletakkan lukisan yang bernilai tinggi di sana nanti,” katanya kepada pemberita selepas melancarkan Pameran Terbuka Galeri Shah Alam (PTGSA) 2024 di sini, hari ini. 

Borhan berkata Selangor kini mempunyai sebuah galeri lukisan iaitu Galeri Shah Alam yang berusia 33 tahun di Persiaran Tasik, Seksyen 14 di sini.

Selain itu katanya kira-kira 5,000 pengunjung dijangka memeriahkan PTGSA 2024 yang berlangsung hingga 29 Feb ini, mempamerkan 52 karya seni pelbagai tema.

Dalam pada itu, Borhan berkata seramai 28,000 penjawat awam negeri akan memakai baju Batik Selangor bermotif bunga tanjung kelopak sembilan yang merupakan warisan kerajaan negeri setiap Khamis.

Pemakaian baju batik itu juga menurutnya akan diperluas kepada kakitangan anak syarikat kerajaan negeri secara berperingkat.

Media sebelum ini melaporkan Menteri Besar Selangor Datuk Seri Amirudin Shari melancarkan Batik Selangor bercorak bunga tanjung kelopak sembilan iaitu simbolik kepada sembilan daerah di negeri itu.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 IFLIX dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan