JOHOR BAHRU, 27 Jan (Bernama) -- Polis Johor menahan 67 individu dipercayai terlibat dengan kegiatan pelacuran menerusi Op Noda yang dijalankan serentak di seluruh negeri ini, Khamis lepas.
Ketua Polis Johor CP M Kumar berkata dalam operasi berkenaan, 17 premis diserbu dan pelbagai rampasan dibuat termasuk sejumlah dadah dan wang tunai.
“Menerusi serbuan yang dijalankan, (penahanan membabitkan) 49 wanita warga asing, enam lelaki warga asing, lapan lelaki tempatan, empat wanita tempatan, semuanya berusia antara 21 hingga 61 tahun.
"Dalam serbuan tersebut, polis turut merampas jadual kerja, beberapa keping resit, kondom, pelincir, botol minyak urut, tisu, telefon bimbit pelbagai jenama, pelbagai jenis dadah dianggarkan seberat 2.581 kilogram serta wang tunai berjumlah RM57,447," katanya dalam satu kenyataan, hari ini.
Beliau berkata kes tersebut disiasat mengikut Seksyen 107 Akta Kerajaan Tempatan 1976; Seksyen 372, Seksyen 372B dan Seksyen 373 Kanun Keseksaan.
Selain itu, siasatan turut dijalankan mengikut Seksyen 6(1)(c), Seksyen 15(1)(c) dan Seksyen 55B Akta Imigresen 1959/63 serta Seksyen 39(b) Peraturan-peraturan Imigresen 1963 dan Seksyen 39(B) Akta Dadah Berbahaya 1952.
"Orang awam mempunyai sebarang maklumat berkaitan kegiatan pelacuran, boleh terus menyalurkan maklumat ke balai polis berhampiran atau Bilik Gerakan Polis Johor di talian 07-221 2999 atau 07-225 4677," katanya.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial