KUALA LUMPUR, 25 Jan (Bernama) -- United Overseas Bank (Malaysia) Bhd (UOB Malaysia) melancarkan program hutang Islam sulungnya bernilai RM5 bilion mengikut prinsip syariah Wakalah Bi Al-Istithmar.
Bank itu juga mengumumkan kejayaan penetapan harga pertama nota jangka sederhana Islam subordinat Tahap 2 selaras dengan keperluan Basel III bernilai RM500 juta (Sukuk Wakalah Tahap 2), yang akan matang pada Februari 2034 dan boleh tebus pada Februari 2029 serta berkadar tidak tetap.
Dalam kenyataan pada Khamis, UOB Malaysia menjelaskan semasa proses penetapan harga, tawaran hutang Islam itu mendapat sambutan yang amat menggalakkan dari pasaran dan mencapai keadaan terlebih langgan kira-kira 3.39 kali.
Senarai tempahan beli dan jual berdasarkan paras harga akhir sebanyak RM1.7 bilion membolehkan UOB Malaysia menutup pada kadar keuntungan tetap 4.01 peratus setahun.
Pada 45 mata asas melebihi penanda aras Sekuriti Kerajaan Malaysia (MGS), ia merupakan tebaran paling ketat yang pernah dicatatkan untuk instrumen modal Tahap 2 dalam pasaran denominasi ringgit sehingga kini, jelasnya.
Ketua Pegawai Eksekutif UOB Malaysia, Ng Wei Wei berkata pihaknya berbangga apabila tawaran sukuk pertama itu telah diterima dengan baik oleh pasaran.
Beliau berkata terlebih langgan serta harga ketat yang dicapai menunjukkan keyakinan para pelabur terhadap kedudukan kewangan UOB Malaysia yang mantap.
“Permintaan kukuh ini juga menunjukkan kecairan dalam pasaran modal hutang tempatan dan keteguhannya dalam menyokong keperluan pembiayaan syarikat korporat tempatan,” katanya dalam kenyataan yang sama.
UOB Malaysia turut memaklumkan bahawa sejumlah 42 pelabur berkualiti tinggi termasuk syarikat insurans, pengurus dana, syarikat pelaburan berkaitan kerajaan, bank dan bank swasta telah melanggan tawaran itu.
Sukuk Wakalah Tahap 2 itu telah menerima penarafan AA1 oleh RAM Rating Services Bhd, menekankan keteguhan profil kredit UOB Malaysia, tambahnya.
Terbitan itu dijadualkan pada 8 Feb, 2024 dan bertujuan untuk layak sebagai Modal Tahap 2 secara disatukan UOB Malaysia, mematuhi Rangka Kerja Kecukupan Modal (Komponen Modal) untuk Bank-bank Islam oleh Bank Negara Malaysia.
CIMB Investment Bank Bhd dan UOB Malaysia bertindak sebagai penasihat utama bersama, pengatur utama bersama dan pengurus utama bersama bagi urus niaga itu.
-- BERNAMA
TAG: UOB Malaysia, program hutang Islam, Wakalah Bi Al-Istithmar, Sukuk Wakalah Tahap 2, penarafan, Bank Negara Malaysia
SPSA SPSA ZAZ
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial