AM

KERAJAAN PERPADUAN TIDAK MASUK CAMPUR KES SIASATAN INDIVIDU BERGELAR TUN - FAHMI FADZIL

23/01/2024 01:17 PM

KUALA LUMPUR, 23 Jan (Bernama) -- Kerajaan Perpaduan tidak masuk campur dalam sebarang siasatan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) ke atas mana-mana individu yang bergelar Tun dan ahli keluarga mereka, kata Menteri Komunikasi Fahmi Fadzil.

Beliau berkata kerajaan memberikan kebebasan kepada SPRM dalam melakukan sebarang siasatan yang dirasakan wajar, dan mengambil sebarang tindakan berlandaskan undang-undang.

Katanya beliau tidak nampak bagaimana perkara itu perlu dilihat sebagai satu isu politik atau sifat dendam.

“.. itu mungkin timbul dari perasaan diri beliau (Dr Mahathir) sendiri,” katanya kepada media selepas melancarkan pelan p-hailing Rahmah buat pemandu dan penunggang p-hailing di sini hari ini.

Beliau yang juga jurucakap Kerajaan Perpaduan berkata demikian bagi mengulas dakwaan bekas Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad yang menyifatkan siasatan SPRM ke atas keluarganya baru-baru ini bermotifkan dendam politik.

Fahmi berkata Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim juga tidak pernah mengeluarkan apa-apa arahan peribadi untuk siasatan dilakukan.

“Saya ingat perdana menteri juga telah beberapa kali berkata bahawa ia bukan sesuatu yang bersifat peribadi, dan sekiranya ada sebarang perkara yang melibatkan harta rakyat, wang ringgit rakyat, kerajaan ada hak untuk teliti, dan ia terpakai kepada semua pihak pihak bukan sahaja individu ataupun satu kelompok,” katanya.

Fahmi turut diminta mengulas kenyataan Dr Mahathir bahawa Anwar Ibrahim menjadi Perdana Menteri secara kebetulan, dan bukan dipilih secara majoriti.

“Saya sarankan supaya Tun Dr Mahathir, sebagai seorang negarawan muhasabah diri beliau di dalam hari-hari senja ini. Kita perlu meninggalkan legasi yang murni daripada cuba menakut-nakutkan rakyat dengan berita seperti ini. Saya harap beliau lebih bermuhasabah,” katanya.

Dr Mahathir menjadi perdana menteri sebanyak dua kali iaitu dari Julai 1981 hingga Oktober 2003, dan kemudiannya dari Mei 2018 hingga Februari 2020. 

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 IFLIX dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan