AM

Sarawak Tidak Aniaya, Diskriminasi Firma China - Uggah

22/01/2024 09:06 PM

KUCHING, 22 Jan (Bernama) -- Sarawak menafikan dakwaan kerajaan negeri menganiaya atau mendiskriminasi firma dari China yang terlibat dalam projek infrastruktur besar di negeri itu.

Timbalan Premier Sarawak Datuk Amar Douglas Uggah Embas berkata tanggapan itu timbul berikutan kontrak bagi pembinaan Jambatan Rambungan di Kuching yang dikendalikan syarikat China ditamatkan baru-baru ini.

“Sebuah firma dari China terlibat dalam pembinaan projek yang tertangguh ini,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Terdahulu, Uggah yang juga Menteri Infrastruktur dan Pembangunan Pelabuhan Sarawak melawat tapak pembinaan Jambatan Batang Lupar 1 serta Jambatan Batang Saribas 1 dan Jambatan Batang Saribas 2.

Turut sama dalam lawatan berkenaan  Konsul Jeneral China di Kuching Xing Weiping dan Setiausaha Tetap Kementerian Infrastruktur dan Pembangunan Pelabuhan Sarawak Datuk Chiew Chee Yau.

Menurut Uggah, kementeriannya objektif dalam menilai prestasi mana-mana kontraktor dalam projek negeri, selain memastikan kontraktor berkenaan bertanggungjawab menyiapkan projek mereka tepat pada masanya.

“Sebab itu, hari ini saya menjemput Konsul Jeneral Xing untuk turut serta dalam lawatan. Kita mahu tunjukkan kepada beliau taklimat mengenai kemajuan pelaksanaan projek.

“Sebenarnya, ketiga-tiga projek jambatan ini melibatkan kontraktor dari China. Kita juga telah maklumkan kepada beliau sekiranya mereka gagal menunjukkan prestasi diharapkan, ada masanya kita terpaksa menamatkan kontrak mereka seperti yang dilakukan dalam projek Jambatan Rambungan,” katanya.

Sementara itu, Uggah berkata beliau telah meminta tiga firma China yang terlibat dalam pembinaan projek Jambatan Batang Lupar 1, Saribas 1 dan Saribas 2 mempercepatkan pembinaan kerana sudah ketinggalan daripada jadual penyiapan mereka.

Beliau berkata projek Jambatan Batang Lupar 1 yang menelan belanja RM848.75 juta dijangka siap pada November 2025 manakala projek Jambatan Saribas 1 dengan kos RM375.5 juta disasarkan siap pada April 2025.

"Berhubung projek Jambatan Saribas 2 pula, projek bernilai RM385 juta itu dijangka siap pada 1 Ogos 2025,” katanya.

-- BERNAMA

 

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan