AM

Glc Perlu Terus Komited Sokong Agenda Bumiputera - Anwar

22/01/2024 05:55 PM

KUALA LUMPUR, 22 Jan (Bernama) -- Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim mahu syarikat berkaitan kerajaan (GLC) terus komited dalam memainkan peranan menyokong agenda Bumiputera.

Semasa mempengerusikan Mesyuarat Pra Majlis Ekonomi Bumiputera petang tadi, Perdana Menteri menekankan bahawa agenda Bumiputera adalah agenda nasional dan perlu sentiasa didasari tatakelola yang jelas.

“Mesyuarat mendengar taklimat dan menyentuh kedudukan serta cabaran semasa dan akan datang berkaitan pembangunan ekonomi Bumiputera,” kata beliau dalam catatan di media sosial hari ini.

Turut hadir pada mesyuarat itu ialah Timbalan-Timbalan Perdana Menteri, menteri-menteri yang berkaitan dan beberapa ketua pegawai eksekutif GLC.

Anwar berkata mesyuarat turut membincangkan mengenai penganjuran Kongres Ekonomi Bumiputera 2024 (KEB 2024) yang akan diadakan pada 29 Feb hingga 2 Mac 2024.

“KEB 2024 bertujuan membantu kerajaan menetapkan hala tuju dan pendekatan baharu serta penambahbaikan agenda Bumiputera yang adil, saksama dan inklusif,” kata beliau.

Beliau berkata mesyuarat turut mendengar pandangan awal yang dibentangkan oleh pengerusi-pengerusi kluster sesi libat urus yang telah ditubuhkan bagi tujuan KEB 2024.

“Banyak isu di lapangan dan cadangan bernas yang dilontarkan. Saya menyambut baik kerjasama strategik yang diwujudkan dan menekankan kepentingan penyelarasan antara kementerian dan agensi yang berkaitan dalam melaksanakan dasar-dasar kerajaan,” kata beliau.

-- BERNAMA

 

 


 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan