JERTIH, 22 Jan (Bernama) -- Pensyarah dan pelajar Politeknik Besut berjaya membangunkan sebuah aplikasi pesanan makanan diet secara dalam talian untuk pesakit di Hospital Besut di sini, bagi menggantikan kaedah manual yang diguna pakai di hospital berkenaan selama ini.
Pengarah Hospital Besut Dr Wan Muhammad Faizuddin W. Mohd Fauzi berkata aplikasi itu membolehkan jururawat melakukan pesanan makanan diet pesakit ke Unit Dietetik dan Sajian hospital, berbanding sebelum ini yang memerlukan mereka menulis dan mengisi sendiri borang pesanan makanan setiap pesakit.
“Selama ini, pesanan dibuat secara mengisi borang dan dihantar ke Unit Dietetik dan Sajian sebanyak dua kali sehari iaitu pada 7 pagi dan 2 petang, sedangkan pesakit sering bertukar-tukar kerana dalam tempoh itu ada pesakit yang baru daftar masuk wad dan ada yang telah dibenarkan keluar wad.
“Ketidakseragaman data yang kita kumpul ini menyebabkan ada makanan yang dipesan dibazirkan, jadi dengan adanya aplikasi ini, ia dapat memantau data secara masa sebenar antara wad, klinik pakar dan dewan bedah dalam proses memesan makanan,” katanya kepada pemberita pada Majlis Penyerahan Projek Inovasi Smart Nutrition System kepada Unit Dietetik dan Sajian Hospital Besut Versi 1.0 di Hospital Besut di sini hari ini.
Turut hadir Ketua Pengarah Politeknik dan Kolej Komuniti Kementerian Pendidikan Tinggi Dr Mohd Zahari Ismail dan Pengarah Politeknik Besut Che Mukthar Bakar.
Dr Wan Muhammad Faizuddin berkata aplikasi berkenaan juga dapat mengurangkan penggunaan kertas dan menjimatkan masa para petugas.
Aplikasi yang telah digunakan di Hospital Besut bermula 12 Jan lepas itu, katanya menerima maklum balas positif daripada petugas hospital yang menyifatkan ia memudahkan tugas mereka.
Sementara itu, Mohd Zahari berkata inovasi berkenaan dibangunkan oleh pensyarah dan tiga pelajar tahun akhir Diploma Teknologi Maklumat (Teknologi Digital) Politeknik Besut.
“Pada Disember tahun lepas, inovasi hasil penyelidikan dan pembangunan yang memakan masa enam bulan ini memenangi Anugerah Emas pada Program Pameran dan Inovasi Projek Pelajar anjuran Jabatan Teknologi Maklumat Politeknik Besut, yang menampilkan para juri daripada pemain industri dan pensyarah daripada Universiti Teknologi Mara (UiTM).
“Aplikasi ini julung kali dihasilkan oleh politeknik di negara ini untuk kegunaan hospital dan ia menggambarkan kolaborasi erat antara Jabatan Politeknik dan Kolej Komuniti bersama Hospital Besut dalam mencari penyelesaian inovatif untuk meningkatkan kualiti perkhidmatan kesihatan,” katanya.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial