AM

Anwar Ucap Takziah Kepada Keluarga Devaki Krishnan

21/01/2024 03:24 PM

KUALA LUMPUR, 21 Jan (Bernama) -- Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim merakamkan ucapan takziah kepada keluarga Tan Sri Devaki Krishnan, wanita pertama dalam perkhidmatan awam Malaysia yang meninggal dunia malam tadi.

Menerusi perkongsian dalam Facebook beliau, Anwar berkata Devaki ialah sosok penting dalam sejarah perjuangan yang mengangkat martabat wanita dalam kepimpinan dan politik serta sanggup mengabadikan hayatnya demi masyarakat.

“Turut berdukacita atas pemergian wanita pertama dalam perkhidmatan awam Malaysia, Tan Sri Devaki Krishnan malam tadi.

“Jasa dan pengorbanan mendiang akan dikenang buat selamanya. Takziah kepada keluarga mendiang,” katanya.

Devaki yang meninggal dunia pada usia 100 tahun, dilahirkan pada 11 Mac 1923 dan memulakan karier sebagai guru sebelum memenangi kerusi dalam Majlis Perbandaran di Kuala Lumpur pada 1952, sekali gus menjadi wanita pertama Malaysia dipilih sebagai penjawat awam.

Mendiang yang dilahirkan di Port Dickson, Negeri Sembilan terlibat dalam politik pada 1950 dan menyertai Parti Kemerdekaan Malaya (IMP) pada 1951 atas jemputan presiden pengasas parti itu Datuk Onn Jaafar.

Devaki juga merupakan wanita India pertama dianugerahkan gelaran Tan Sri pada 1995 serta pernah menerima pelbagai anugerah sepanjang hayatnya termasuk Tokoh Wanita dan Pingat Emas Tun Fatimah daripada Majlis Kebangsaan Pertubuhan-pertubuhan Wanita Malaysia (NCWO).

-- BERNAMA

 

 

 


 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan