AM

Majlis Temu Mesra Uniten Hargai Peranan Ycu

16/01/2024 09:47 PM

KUALA LUMPUR, 16 Jan (Bernama) -- Jabatan Pemasaran, Kemasukan dan Pembangunan Bisnes Universiti Tenaga Nasional (UNITEN) menganjurkan majlis "Temu Mesra Bersama Pelajar di bawah Tajaan Yayasan Canselor (YCU) Uniten 2023" pada 10 Jan lepas bagi menghargai peranan yayasan tersebut dalam membentuk ekosistem kewangan UNITEN. 

Dalam kenyataan hari ini, UNITEN memaklumkan acara julung kali diadakan itu bertujuan mengeratkan hubungan antara YCU dan pihak universiti serta menghargai sumbangan YCU yang menyalurkan dana kepada UNITEN melalui program penajaan pendidikan.

Ia termasuk program Dermasiswa Dato’ Low Tuck Kwong, Dermasiswa Bright/Merit, Dermasiswa Postgraduate (PG) YCU serta pakej insentif bantuan kewangan bagi pelajar daripada pelbagai bidang dan peringkat pengajian.

UNITEN berkata acara itu juga memberi ruang untuk sesi tanya jawab dan taklimat YCU dalam memperkukuh pemahaman pelajar tajaan yayasan itu mengenai peranan dan sumbangan YCU, di samping mengenali pengurusan UNITEN lebih dekat.

“Melalui program ini, pelajar tajaan YCU diharapkan agar dapat merasai keterlibatan dan sokongan menyeluruh daripada YCU dan UNITEN, selanjutnya mencipta hubungan yang berkekalan sepanjang perjalanan akademik mereka serta meningkatkan rasa kekitaan pelajar kepada UNITEN,” katanya.

Kenyataan itu memaklumkan majlis ramah mesra tersebut menjadi platform untuk menghargai kecemerlangan pelajar tajaan YCU dengan harapan ia dapat meningkatkan motivasi kepada pelajar lain dan melahirkan pelajar yang serba boleh serta berdaya saing.

Menurut kenyataan itu, YCU turut menyalurkan bantuan bagi menyokong majlis dan aktiviti pelajar, membantu mereka yang kurang berkemampuan, serta terlibat dalam pelbagai projek tanggungjawab sosial korporat bersama komuniti.

Pada majlis itu, seramai lapan orang penerima biasiswa yang mencatat keputusan purata gred kumulatif akademik (CGPA) 4.00 dalam pengajian asasi diraikan melalui penyampaian sijil dan insentif sumbangan YCU.

Turut hadir pada majlis itu Pengurus Kanan menjalankan tugas Pengarah YCU Shazlini Osman, pengurusan UNITEN diwakili Ketua Pegawai Operasi Prof Madya Ts Dr Mohd Ezanee Rusli dan Felo Kanan UNITEN yang juga mantan Pengarah YCU Mohamad Ishak Mohamed Ibrahim.

Sementara itu, Dr Mohd Ezanee dalam ucapannya menzahirkan penghargaan kepada YCU yang telah memberi impak dalam kehidupan penerima biasiswa.

”Dana biasiswa dan dermasiswa YCU pada tahun 2023 melebihi RM3 juta, pada tahun 2024 ini sebanyak hampir RM4 juta menunjukkan komitmen sejati YCU dan UNITEN untuk memperbanyak peluang pendidikan dan menyokong perubahan kehidupan pelajar UNITEN,” katanya.

Menurut kenyataan itu, kerjasama erat antara pengurus dana dan universiti seperti yang ditunjukkan YCU dan UNITEN akan terus berkembang dan memberi impak positif serta mampu meningkatkan kualiti pendidikan tinggi negara.

-- BERNAMA

 

 

 


 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan