SUKAN

Beregu Lelaki China Raih Juara Terbuka Malaysia 2024

14/01/2024 08:49 PM

KUALA LUMPUR, 14 Jan (Bernama) -- Beregu lelaki China, Liang Wei Keng-Wang Chang membuktikan mereka adalah pasangan terbaik dunia apabila meraih gelaran Terbuka Malaysia 2024 selepas mengecewakan Satwiksairaj Rankireddy-Chirag Shetty dari India hari ini.

Pada perlawanan akhir penuh dramatik di Axiata Arena itu, pilhan utama kejohanan yang tewas set pertama 9-21, bangkit bergaya untuk menang set kedua 21-18 sekali gus mengheret kepada perlawanan penentuan.

Wei Keng-Wang Chang mempamerkan kekuatan mental yang tinggi apabila menyamakan kedudukan selepas ketinggalan 5-10 sebelum melengkapkan kemenangan 21-17 untuk muncul juara kejohanan Super 1000.

Bercakap mengenai permainan hari ini, Wang Chang berkata ia merupakan perlawanan ulangan Seluruh England 2023, menyaksikan mereka yang ketinggalan 10-21, bangkit meraih kemenangan 21-17, 21-19 pada pusingan kedua di Birmingham.

“Kami mengkaji bagaimana lawan kami bangkit selepas ketinggalan dalam perlawanan semalam menentang wakil Korea Selatan. Jika mereka (Satwiksairaj-Shetty) boleh lakukannya, kami pun boleh,” katanya kepada pemberita di sini.

Kejayaan gandingan itu menjadi kejuaraan kedua dicapai China selepas beregu wanita Liu Sheng Shu-Tan Ning muncul juara, menundukkan pilihan kelima yang juga rakan senegara Zhang Shu Xian-Zheng Yu 21-18, 21-18.

Pemenang acara beregu Terbuka Malaysia 2024 membawa pulang wang tunai US$96,200 dan piala manakala naib juara US$45,500 berserta piala.

-- BERNAMA

 

 

 

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan