AM

Atlet Sukma Perak Diingat Berhati-hati Ambil Makanan Tambahan Elak Gagal Doping - Exco

14/01/2024 11:13 AM

IPOH, 14 Jan (Bernama) -- Barisan jurulatih dan atlet Sukan Malaysia (SUKMA) Perak dinasihatkan melakukan kajian terperinci sebelum mengambil sebarang makanan tambahan bagi mengelak gagal ujian doping. 

Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan, Pengajian Tinggi, Belia dan Sukan negeri Khairudin Abu Hanipah berkata mereka juga perlu mengetahui bahan yang terkandung dalam makanan tambahan yang diambil untuk memastikan kontijen negeri tidak dikenakan tindakan di bawah Peraturan Anti-Doping ADAMAS 2021.

"Saya tegaskan sekali lagi kepada semua atlet SUKMA negeri agar berhati-hati mengambil sebarang ubat-ubatan dan makanan tambahan bagi mengelak terperangkap dalam isu doping.

"Atlet juga dinasihatkan sentiasa peka, bertanggungjawab malah tidak boleh main makan saja makanan tambahan tanpa mendapat kebenaran terlebih dahulu melalui pakar perubatan yang dilantik Majlis Sukan Negeri (MSN) Perak," katanya pada sidang media di sini malam tadi selepas menyaksikan Perlawanan Akhir Piala XOX 2023 antara pasukan Kinta Utara (SMK Anderson) menentang Sekolah Sukan Negeri (SSN) Perak (SMK Gunung Rapat) di Kompleks Bola Sepak Perak, Chepor.

Khairudin berkata walaupun isu doping berlaku dalam kalangan banyak negara di dunia namun menjadi tanggungjawab atlet itu sendiri memastikan mereka bebas isu berkenaan agar tidak kerugian.

"Ada kes di mana atlet mengambil makanan tambahan selepas disyorkan mereka yang kurang arif mengenai pemakanan kesihatan termasuk daripada jurulatih sendiri. 

"Akibatnya atlet itu positif ujian doping dan kita tidak mahu atlet SUKMA 2024 kita akan berhadapan dengan situasi sama hingga memberikan kesan pada kontinjen negeri kita," katanya lagi. 

Beliau  berkata demikian ketika diminta mengulas isu atlet lompat tinggi kebangsaan Ngu Jia Xin disahkan positif doping pada Kejohanan Trek dan Balapan Kesatuan Olahraga Malaysia (KOM) yang berlangsung pada Februari lalu di Stadium Mini, Majlis Sukan Negara, Bukit Jalil.

Atlet dari Perak itu digantung dua tahun daripada menyertai sebarang pertandingan selepas dikesan menggunakan bahan terlarang sibutramine di kejohanan itu. 

Khairudin juga berharap Jia Xin akan membuat rayuan susulan terhadap hukuman yang diterimanya.

-- BERNAMA

 

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan