AM

Sba Perlu Diberi Kuasa Perundangan Sepenuhnya Urus Sempadan Negara - Penganalisis

13/01/2024 10:32 AM

Oleh Nur Afiradina Arshad

KUALA LUMPUR, 13 Jan (Bernama) -- Agensi tunggal sempadan negara (SBA) yang bakal diwujudkan perlu diberi kuasa perundangan sepenuhnya untuk mengendalikan hal ehwal sempadan negara meliputi dasar serta keselamatan sempadan negara.

Penganalisis Jenayah Shahul Hamid Abdul Rahim berkata ini kerana pengendalian sempadan negara pada masa ini melibatkan banyak agensi seperti polis, kastam dan imigresen dengan bidang kuasa masing-masing yang mungkin boleh mengurangkan keberkesanan pengawalan keselamatan sempadan negara.

“Sebenarnya dulu, kita telah ada satu Unit Pencegah Penyeluduhan dan beberapa badan lain tetapi undang-undang masih lagi berkuat kuasa di agensi masing-masing.

“Sebagai contoh, kes yang melibatkan polis akan diserahkan kepada polis, imigresen akan mengikut undang-undang imigresen begitu juga kastam diserah kembali ke jabatan itu untuk dikendalikan,” katanya kepada Bernama baru-baru ini.

Menurutnya, dengan wujudnya SBA sebagai satu jabatan berserta kuasanya tersendiri, segala urusan termasuk berkaitan tangkapan boleh dikendalikan pegawai SBA sendiri berdasarkan bidang kuasa yang diberikan kepada mereka.

Shahul berkata beliau yakin dengan adanya SBA, urusan mengendalikan sempadan negara dapat dilaksanakan dengan lebih berkesan dan seterusnya mampu untuk mengurangkan masalah dan jenayah di kawasan sempadan.

Sementara itu, Pakar Geostrategis dan Felo Kanan Akademi Penyelidikan Strategik Nusantara Prof Dr Azmi Hassan berkata dengan wujudnya SBA, ini akan mengurangkan kerenah birokrasi sekali gus menjadikan tugasan kawalan sempadan lebih efisien.

“Kalau kita lihat kebanyakan negara lain, mereka sememangnya mempunyai agensi tunggal yang mengawal hal berkaitan sempadan dan ia penting kerana melibatkan isu keselamatan dan kedaulatan negara terutama dalam membuat sebarang keputusan sempadan.

“Contohnya yang boleh kita lihat adalah Amerika Syarikat ada penguat kuasa sempadan dan  agensinya sendiri.

“Kita tahu negara itu sekarang menghadapi masalah kedatangan pendatang asing daripada Mexico, jadi bayangkan kalau tiada agensi tunggal itu maka akan lebih kucar-kacir pengurusan sempadan,” katanya. 

Mengulas lanjut, beliau berkata SBA itu juga perlu memfokuskan kepada usaha membantu dalam merangka dasar-dasar mengenai keselamatan sempadan yang lebih baik dari semasa ke semasa.

Sebelum ini, Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail dilapor berkata satu rang undang-undang sedang dirangka bagi merealisasikan penubuhan sebuah agensi tunggal sempadan negara.

Menurutnya, Jemaah Menteri telah memberi persetujuan kepada cadangan untuk merangka rang undang-undang itu bagi menubuhkan entiti baharu SBA yang akan mengguna pakai satu nama dan beroperasi sebagai satu agensi kawalan sempadan baharu.

Katanya langkah mewujudkan SBA itu merupakan keputusan yang betul supaya sistem penyampaian menjadi lebih cekap dan pantas, selain dapat meningkatkan koordinasi antara agensi serta menambah baik amalan integriti.

-- BERNAMA

 

 

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan