DUNIA

Perbicaraan Icj Terhadap Kes Genosid Israel Beri Harapan Kepada Palestin -- Amnesty International

12/01/2024 10:43 AM

ISTANBUL, 12 Jan (Bernama-AA) -- Amnesty International pada Khamis menegaskan bahawa prosiding semasa di Mahkamah Keadilan Antarabangsa (ICJ) yang difailkan oleh  Afrika Selatan terhadap Israel mempunyai potensi untuk melindungi rakyat Palestin, "menamatkan bencana kemanusiaan” di Gaza dan memberi sinar harapan untuk keadilan antarabangsa.

“Di saat Amerika Syarikat terus menggunakan kuasa veto menyekat Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu daripada menyeru gencatan senjata, jenayah perang dan jenayah terhadap kemanusiaan terus berleluasa, manakala risiko pembunuhan beramai-ramai adalah jelas.

“Negara-negara mempunyai kewajipan mencegah dan menghukum tindakan genosid dan jenayah kekejaman lain,”  lapor Agensi Anadolu memetik kenyataan Setiausaha Agung Amnesty International Agnes Callamard dalam satu kenyataan.

Siasatan ICJ terhadap perbuatan Israel adalah langkah penting untuk melindungi nyawa rakyat Palestin, mengembalikan kepercayaan dan kredibiliti undang-undang antarabangsa dan membuka jalan untuk keadilan dan pampasan kepada mangsa, katanya lagi.

Tahap kemusnahan dan kehancuran di Gaza sejak tiga bulan lalu terus meluas, memaksa sekurang-kurangnya 85 peratus daripada penduduknya berpindah, katanya.

Callamard berkata bahawa ramai rakyat Palestin dan pakar hak asasi manusia menganggap ia sebagai taktik Israel untuk menjadikan Gaza, sebagai wilayah yang "tidak boleh didiami."

“Sementara menunggu keputusan muktamad Mahkamah Keadilan Antarabangsa sama ada jenayah pembunuhan beramai-ramai dan jenayah lain di bawah undang-undang antarabangsa telah dilakukan, arahan untuk melaksanakan langkah-langkah sementara adalah penting bagi membantu mencegah kematian, kemusnahan dan penderitaan awam daripada berterusan,” katanya.

Perbicaraan pada Khamis akan disusuli dengan hujah pembelaan Israel pada Jumaat.

-- BERNAMA-ANADOLU


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan