JOHOR BAHRU, 9 Jan (Bernama) -- Bekas Timbalan Setiausaha Kerajaan Negeri Johor (Pembangunan), Datuk Mohammed Ridha Abd Kadir mengangkat sumpah sebagai Pegawai Kewangan Negeri (PKN) yang baharu, hari ini.
Perkara itu dimaklumkan menerusi hantaran yang dimuat naik di Facebook rasmi Sultan Johor Sultan Ibrahim Sultan Iskandar berserta beberapa foto di majlis angkat sumpah tersebut.
Terdahulu, Majlis Penyerahan Surat Tauliah dan Ikrar Taat Setia itu telah disempurnakan oleh Tunku Mahkota Johor (TMJ), Tunku Ismail Sultan Ibrahim di Balai Mengadap Istana Bukit Serene di sini.
Baginda berangkat selaku wakil rasmi Sultan Johor Sultan Ibrahim Sultan Iskandar dan turut dihadiri Menteri Besar, Datuk Onn Hafiz Ghazi, Yang Dipertua Jumaah Majlis DiRaja Johor, Datuk Dr Abdul Rahim Ramli dan Setiausaha Kerajaan Negeri, Tan Sri Dr Azmi Rohani.
Mohammed Ridha, 53, menggantikan Datuk Salehuddin Hassan yang bersara wajib selepas berkhidmat dalam jawatan itu sejak tahun 2021.
Mohammed Ridha memulakan perkhidmatan sebagai Penolong Pentadbir Tanah di Pejabat Tanah di sini pada tahun 1995 dan pernah berkhidmat sebagai Pengarah Pejabat Tanah dan Galian Johor serta Pegawai Daerah di daerah Johor Bahru serta Kota Tinggi.
Turut diadakan Majlis Penyerahan Watikah Pelantikan dan Ikrar Taat Setia Pengerusi dan Ahli Suruhanjaya Perkhidmatan Awam Johor (SPAJ).
Datuk Marsan Kassim mengangkat sumpah sebagai Pengerusi SPAJ manakala Datuk A Rahim Nin, Datuk Md Rofiki A Shamsudin, Datuk Mohd Noh Ibrahim dan Datuk Salehuddin Hassan pula mengangkat sumpah sebagai ahli suruhanjaya itu.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial