AM

Pusat Inovasi Kejuruteraan Perubatan Um Bangun Alat Kesan Sakit Belakang Pertama M'sia

04/01/2024 04:11 PM

KUALA LUMPUR, 4 Jan (Bernama) -- Pusat Inovasi Kejuruteraan Perubatan Universiti Malaya (UM) telah membangunkan alat pengesanan sakit belakang pertama di Malaysia bagi membolehkan sakit itu dikesan pada peringkat awal sebelum ia bertambah kronik.

Pengarahnya Prof Dr Fatimah Ibrahim berkata idea di sebalik pembangunan alat dinamakan “PULIH” itu tercetus semasa beliau menjalankan kajian "Solat Dari Perspektif Kejuruteraan Bioperubatan" menggunakan dana Projek Khas Perdana Menteri pada 2005.

Hasil daripada kajian tersebut, beliau memulakan usaha membangunkan PULIH pada 2012 dan siap sepenuhnya pada 2020 yang kini ia digunakan di beberapa hospital bagi memantau serta merawat sakit tersebut.

"Biasanya doktor akan minta pesakit mengisi borang kaji selidik bagi mengukur tahap sakit belakang. Tapi data-data tersebut sangat subjektif dan hanya mengikut perasaan kita.

"Dengan adanya alat ini, ia boleh merakam keadaan sebenar otot badan. Oleh itu pesakit tak perlu pergi hospital dan menunggu lama hanya untuk lakukan pemeriksaan," katanya selepas muncul dalam program Apa Khabar Malaysia terbitan Bernama TV di Wisma Bernama hari ini.

Fatimah berkata selain tidak menggunakan sebarang jarum, alat tersebut boleh dikawal menggunakan aplikasi PULIH dalam telefon pintar dan datanya boleh disimpan untuk tujuan pemantauan kesihatan berkala.

Mengulas lanjut tentang sakit belakang, berdasarkan data Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO), sakit belakang merupakan punca utama kecacatan di seluruh dunia.

Katanya, 20 peratus daripada populasi negara-negara membangun seperti Malaysia mengalami sakit belakang seawal umur enam tahun dan ke atas.

"Ini adalah penyakit yang dialami seluruh dunia dan kita merasakan sakit belakang ini sangat penting untuk dipantau bagi mengelakkan ia bertambah kronik," katanya.

Sementara itu Ketua Pegawai Teknologi Nonivasi Care Sdn Bhd Joe Lim ketika ditemui di sini berkata setakat ini alat tersebut telah mendapatkan perakuan daripada Medical Device Authority dari Kementerian Kesihatan Malaysia pada Oktober tahun lepas untuk dijual dalam pasaran.

Selain hospital, pihaknya merancang untuk meletakkan alat tersebut di farmasi supaya lebih ramai orang dapat menggunakannya, kata beliau.

-- BERNAMA

 

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan