AM

TPM AHMAD ZAHID MENGAKU TERIMA LAPORAN RISIKAN 'LANGKAH DUBAI'

02/01/2024 03:43 PM

PUTRAJAYA, 2 Jan (Bernama) -- Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi hari ini berkata pihaknya telah menerima laporan perisikan berkaitan 'Langkah Dubai', dan menyifatkan gerakan yang dikatakan untuk menjatuhkan Kerajaan Perpaduan itu hanya membuang masa. 

"Laporan memang ada. Laporan dari segi perisikan memang kami perolehi seawal penerbangan mereka (yang terlibat) ke tempat itu, dan laporan selepas itu kami peroleh, tapi pada hemat kami langkah itu hanya membuang masa," katanya.

Bercakap pada sidang media selepas mempengerusikan Taklimat Penyelarasan Situasi Bencana Terkini di sini hari ini, beliau bagaimanapun tidak mendedahkan maklumat mengenai individu yang terbabit dalam gerakan itu.

Ahmad Zahid berkata tumpuan kerajaan adalah untuk memperkukuhkan ekonomi serta membantu rakyat, dan beliau menasihatkan  individu yang berniat untuk menggulingkan kerajaan agar menunggu sehingga Pilihan Raya Umum Ke-16 (PRU16) untuk membentuk kerajaan baharu.

“Keutamaan adalah untuk bangunkan negara kita terutamanya dari segi pembangunan ekonomi, berikan kesejahteraan yang ‘melata’ kepada rakyat dan bukan soal politik. Tunggulah hingga PRU (pilihan raya umum) ke-16 kalau mereka berhajat untuk menukar kerajaan," tambahnya.

Sabtu lepas Timbalan Ketua Pengarah (Komunikasi Komuniti) Jabatan Komunikasi Komuniti (J-Kom) Datuk Ismail Yusop dilaporkan mendakwa 'Langkah Dubai' timbul sewaktu percutian pemimpin pembangkang, dan tokoh-tokoh dari pihak kerajaan, di ibu kota Emiriah Arab Bersatu (UAE) baru-baru ini.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 IFLIX dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan