AM

Ambil Peluang Laporkan Pendapatan Sempena Program Khas Pengakuan Sukarela 2.0 - Lhdn

27/12/2023 03:06 PM

Oleh Rosemarie Khoo Mohd Sani

KUALA LUMPUR, 27 Dis (Bernama) -- Lembaga Hasil Dalam Negeri Malaysia (LHDN) meminta orang ramai supaya mengambil peluang melaporkan pendapatan individu atau perniagaan yang tidak dilaporkan sebelum ini, secara sukarela kepada LHDN bagi tahun taksiran 2022 dan ke belakang, sempena Program Khas Pengakuan Sukarela (PKPS) 2.0. 

Pengarah Seksyen Operasi Dasar, Jabatan Operasi Cukai LHDN, Dr Rasyidah Che Rosli berkata ini kerana mereka yang tampil secara sukarela sepanjang tempoh PKPS 2.0 iaitu dari 6 Jun 2023 hingga 31 Mei depan tidak akan dikenakan sebarang tindakan seperti penalti dan pemeriksaan audit.

Beliau berkata kerajaan juga sedang giat melaksanakan sistem e-Invois yang akan dilaksanakan secara berperingkat, bermula dengan fasa pertama iaitu kepada pembayar cukai dengan pendapatan atau jualan tahunan melebihi RM100 juta dan ke atas bermula 1 Ogos 2024. 

"Jadi, ini adalah masa yang terbaik kepada pembayar cukai untuk jelaskan urusan percukaian jika ada sebarang rekod pematuhan cukai yang belum dijelaskan sebelum kita mulakan pelaksanaan e-Invois," katanya ketika ditemui selepas diwawancara dalam program 'Apa Khabar Malaysia' di saluran Bernama TV hari ini.

Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim dalam pembentangan belanjawan sebelum ini telah mengumumkan pelaksanaan e-Invois yang akan melibatkan semua pembayar cukai, dan pelaksanaan sepenuhnya akan bermula 1 Julai 2025.

Pelaksanaan e-Invois bertujuan meningkatkan kecekapan pengurusan pentadbiran percukaian negara dalam usaha menyokong pertumbuhan ekonomi digital.

Ia juga selaras dengan strategi Rancangan Malaysia Kedua Belas (RMKe-12), dengan fokus diberikan kepada pengukuhan infrastruktur perkhidmatan digital dan pendigitalan pentadbiran cukai.

Rasyidah berkata perubahan invois yang dikeluarkan secara manual kepada elektronik iaitu e-Invois akan memberi banyak manfaat kepada pembayar cukai, antaranya meningkatkan keupayaan digital perniagaan, dengan kesilapan dari segi perekodan dapat dikurangnakn.

Menurutnya ia juga dapat membantu dari segi pengemukaan cukai itu sendiri kerana semua maklumat dapat diselaraskan melalui e-Invois. 

"LHDN akan membangunkan dua platform atau mekanisme untuk menghantar e-Invois, pertamanya MyInvois portal yang boleh diakses secara percuma oleh semua pembayar cukai, dan kedua ialah Application Programming Interface (API), dengan data boleh hantar secara masa nyata (real-time) bagi transaksi Perniagaan-kePerniagaan (B2B), Perniagaan-ke-Pengguna (B2C) dan Perniagaan-ke-Kerajaan (B2G).

Menurutnya pada masa yang sama, LHDN akan membuat verifikasi ke atas data yang dikemukakan dalam tempoh masa nyata juga, yang membolehkan perniagaan beroperasi seperti biasa tanpa sebarang ‘gangguan’.

Bagi pembayar cukai individu pula, Rasyidah berkata e-Invois akan membantu penyimpanan rekod seperti resit, dan dokumen berkaitan secara digital.

"Sebagai contoh, jika anda membeli komputer riba dan diberikan e-Invois, LHDN dapat mengisi data pembelian itu dalam borang penyata cukai anda.

"Jadi bila anda membuat e-Filing, LHDN sudah mengambil maklum mengenai perbelanjaan yang dibenarkan untuk pelepasan cukai (seperti komputer riba yang dinyatakan) kerana ia akan tertera dalam rekod dan kita sebagai pembayar cukai tidak lagi perlu risau mengenai simpanan resit fizikal," jelasnya. 

Jelas beliau, fasa kedua pelaksanaan e-Invois akan bemula 1 Jan 2025 dan ia akan disasarkan kepada pembayar cukai dengan pendapatan atau jualan tahunan melebihi RM25 juta dan sehingga RM100 juta, dan seterusnya kepada semua pembayar cukai yang akan dilaksanakan pada 1 Julai, 2025.

Bagi perniagaan baharu yang bermula dari tahun 2023 dan seterusnya, tarikh pelaksanaan e-Invois adalah pada 1 Julai, 2025. 

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan