AM

Bajet Maiwp 2024 Meningkat, Agih Lebih Rm1.3 Bilion - Pengerusi

21/12/2023 09:09 PM

KUALA LUMPUR, 21 Dis (Bernama) -- Anggaran perbelanjaan Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP) tahun depan meningkat 11.31 peratus kepada RM1.605 bilion yang turut merangkumi perbelanjaan agihan sebanyak RM1.305 bilion. 

Pengerusinya Tan Sri Dr Mohd Daud ketika mengulas Bajet MAIWP 2024 berkata perbelanjaan lain termasuk pengurusan dianggarkan sebanyak RM215.11 juta manakala pembangunan berjumlah RM85.44 juta. 

"Fokus utama perbelanjaan pengurusan memberi penekanan kepada aspek kecekapan, kompetensi dan peningkatan mutu perkhidmatan MAIWP selari dengan teknologi terkini IR4.0.

"Perbelanjaan pembangunan pula merangkumi aktiviti fizikal seperti pembangunan hartanah, pembelian aset dan pelaburan,” katanya pada sidang media Bajet 2024 MAIWP di sini hari ini.

Beliau berkata anggaran pendapatan MAIWP ialah sebanyak RM1.395 bilion pada 2024 iaitu meningkat sembilan peratus berbanding RM1.28 bilion tahun ini, disumbang oleh kumpulan wang zakat kira-kira RM1.158 bilion serta aktiviti sewaan, yuran pengajian, pelaburan dan peruntukan geran daripada Kementerian Kewangan. 

Mohd Daud berkata MAIWP turut menyediakan Bajet Defisit sebanyak RM210.35 juta untuk memberi komitmen sepenuhnya dalam aspek pemerkasaan dan kesejahteraan asnaf serta pembangunan ummah di Wilayah Persekutuan, melebihi jumlah anggaran pendapatan sasaran pada 2024.

Beliau juga berkata Insentif Khas MAIWP berjumlah RM42.7 juta yang dapat memberi manfaat kepada 69,100 penerima akan disalur selewat-lewatnya 31 Dis ini berikutan cabaran kos sara hidup dan kenaikan harga barangan. 

Insentif Khas itu merangkumi Bantuan Kewangan Bulanan sebanyak RM1,000 seorang kepada 30,000 penerima manakala 34,300 orang masing-masing akan menerima Bantuan Am Persekolahan sebanyak RM300. 

"Seramai 4,800 penerima Bantuan Am Pelajaran IPT pula akan menerima RM500 seorang yang melibatkan perbelanjaan sebanyak RM30 juta,” katanya sambil menambah bantuan keperluan asasi juga dinaikkan daripada RM150 kepada RM300 mulai 2024 dan pembayaran melalui e-dompet akan dikreditkan bermula 16 Jan secara berperingkat melibatkan perbelanjaan sebanyak RM108.7 juta setahun. 

Mohd Daud berkata Bajet MAIWP 2024, yang bertema Melestari Rahmah MADANI, telah mendapat perkenan Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah pada 9 Nov lepas.

-- BERNAMA

 

 

 

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan