SUKAN

Tfc Belum Terima Maklum Balas Surat Bantahan Final Piala Malaysia

21/12/2023 09:49 PM

KUALA TERENGGANU, 21 Dis (Bernama) -- Terengganu FC (TFC) belum menerima sebarang maklum balas daripada Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) berkaitan bantahan kelab itu terhadap mutu pengadilan pada aksi final Piala Malaysia, 8 Dis lepas.

Ketua Pegawai Eksekutif Terengganu Football Club Sdn Bhd (TFCSC) Mohd Sabri Abas berkata pihaknya telah menghantar surat bantahan kepada badan induk itu pada 11 Dis lepas, bagi meluahkan kekecewaan terhadap kelemahan prestasi pengadilan perlawanan akhir melibatkan TFC dan Johor Darul Ta'zim (JDT) di Stadium Nasional Bukit Jalil.

Beliau berkata walaupun bantahan berkenaan tidak dapat mengubah keputusan perlawanan, ia diharap dapat menambah baik dan meningkatkan mutu pengadilan bola sepak terutama pada perlawanan penting.

"Pihak TFC sudah menghantar surat bantahan ketidakpuasan hati  terhadap mutu pengadilan kepada FAM tiga hari selepas berlangsungnya Piala Malaysia. 

"Setakat ini, kita tidak terima apa-apa maklum balas. Tetapi, dalam 'page' FAM sendiri ada menyebut tentang kelemahan mutu pengadilan perlawanan tersebut," katanya pada sidang media selepas Kongres Tahunan Persatuan Bola Sepak Negeri Terengganu (PBSNT) 202, di sini hari ini.

Sementara itu, Presiden PBSNT Hishamuddin Abdul Karim berkata beliau amat kecewa kerana isu mutu pengadilan yang lemah masih menjadi barah dan menghantui industri bola sepak negara.

Beliau yang juga Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Belia, Sukan dan Badan Bukan Kerajaan Negeri Terengganu berkata sebelum ini pihaknya pernah menghantar cadangan kepada Liga Bolasepak Malaysia (MFL) pada 2018 untuk menggunakan khidmat pengadil dari luar negara pada perlawanan berprestij khususnya perlawanan akhir sesebuah kejohanan.

"Pada 2018, ketika layak ke perlawanan akhir Piala Malaysia menentang Perak FC, kita pernah mengesyorkan kepada MFL supaya pemilihan pengadil dibuat dari pihak luar... bukan dari dalam negara. 

"Tetapi, nampaknya perkara ini berulang. Kita harap masalah ini dapat diatasi untuk keadilan semua pasukan dan kemajuan bola sepak negara," katanya.

-- BERNAMA

 

 

 

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan