PUTRAJAYA, 21 Dis (Bernama) -- Kementerian Kesihatan (KKM) memperuntukkan sebanyak RM1.42 juta pada tahun hadapan kepada 142 hospital bagi membolehkan panel Ahli Lembaga Pelawat Hospital (ALPH) melaksanakan aktiviti yang dapat meningkatkan aspek penyampaian perkhidmatan dan kebajikan pesakit.
Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad dalam satu kenyataan memaklumkan sebanyak RM5.1 juta turut disediakan kepada 1,020 klinik kesihatan di bawah KKM bagi tujuan berkaitan.
“ALPH berperanan sebagai penghubung antara hospital dengan komuniti di samping mengadakan lawatan ke hospital bagi mengenal pasti dan menangani cabaran yang dihadapi oleh pihak hospital KKM,” katanya hari ini.
Menurut Dzulkefly KKM sentiasa komited untuk menambah baik peranan ALPH agar lebih efisien dan efektif bagi memastikan institusi berkenaan kekal relevan selaras dengan hala tuju kementerian.
Selain itu, katanya antara bidang tugas ALPH ialah memberi perkhidmatan kebajikan kepada pesakit contohnya dengan mengumpul buku dan majalah untuk bacaan pesakit dan melibatkan diri dalam aktiviti hospital dengan komuniti seperti kempen menderma darah serta kempen antimerokok.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial