DUNIA

Masa Depan Politik Pita Bakal Diketahui Bulan Depan

20/12/2023 10:30 PM

Oleh Linda Khoo Hui Li

BANGKOK, 20 Dis (Bernama) -- Masa depan politik bekas pemimpin Parti Move Forward (MFP) Pita Limjaroenrat bakal diketahui pada bulan depan apabila Mahkamah Perlembagaan membuat keputusan berhubung kes pemilikan saham dalam sebuah syarikat media.

Mahkamah Perlembagaan akan membuat keputusan pada 24 Januari 2024, sama ada Pita melanggar peraturan yang melarang Ahli Parlimen daripada memiliki saham dalam syarikat media.

Jika didapati bersalah, Pita akan hilang kerusinya dan dilarang terlibat dalam politik.

“Saya berpuas hati dengan prosedur hari ini. Saya telah memberi keterangan. Saya harap saya akan mendapat keadilan,” katanya kepada pemberita selepas memberi keterangan di mahkamah pada Rabu.

MFP yang diketuai oleh Pita, 43, memenangi kerusi terbanyak dalam pilihan raya umum pada 14 Mei lepas.

Bagaimanapun, beliau gagal dalam usahanya untuk menjadi perdana menteri selepas tidak berjaya memperoleh sokongan yang mencukupi di Parlimen dwidewan.

Mahkamah Perlembagaan kemudian menggantung tugasnya sebagai Ahli Parlimen selepas mendapati beliau tidak layak bertanding kerana memegang saham dalam syarikat media ketika mendaftar sebagai calon. 

Beliau meletak jawatan sebagai ketua parti pada September. ​          

-- BERNAMA 

 

 

 

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan