Oleh Mohd Iswandi Kasan Anuar
JAKARTA, 20 Dis (Bernama) -- Duta Besar Malaysia ke Indonesia Datuk Syed Md Hasrin Tengku Hussin mengulangi hasrat dan minat Malaysia untuk mengambil bahagian dalam projek ibu negara baharu Indonesia, Nusantara.
Beliau berkata projek di Kalimantan Timur di pulau Borneo adalah inisiatif besar kerajaan Indonesia, yang kini dalam fasa pertama dengan fasa tambahan akan menyusul.
“Beberapa syarikat Malaysia telah menyerahkan Surat Niat (LOI) tahun lepas dan kini dalam penilaian oleh Pihak Berkuasa Ibu Kota Nusantara (OIKN). Diharap akan ada syarikat Malaysia yang berjaya,” katanya kepada pemberita di luar acara Misi Pecutan Eksport/Export Acceleration Mission anjuran Matrade di sini.
Selaras dengan kenyataan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim mengenai komitmen untuk menyokong kerajaan Indonesia dalam menjadi pengerusi ASEAN tahun ini, Malaysia juga mahu meningkatkan kerjasama sedia ada.
“Kita mahu melihat lebih banyak kerjasama dua hala antara Malaysia dan Indonesia. Sudah tentu, kita harapkan Indonesia terus aman, maju dan makmur pada masa hadapan,” katanya.
Syed Md Hasrin percaya usaha ini akan menjadi elemen penting dalam mengukuhkan hubungan dua hala, merangkumi bukan sahaja kerjasama antara kerajaan dengan kerajaan tetapi juga kerjasama ekonomi.
“Kerjasama ekonomi antara Malaysia dan Indonesia mencapai tahap yang baik tahun lepas dengan perdagangan dua hala berjumlah US$30 bilion. Malaysia kini berada di kedudukan ke lima dari segi pelaburan di Indonesia,” katanya.
Selain Nusantara, beliau berkata terdapat banyak projek infrastruktur yang dirancang seperti dimaklumkan oleh wakil-wakil seperti daripada OIKN dan Kementerian Kerja Raya dan Perumahan.
Syed Md Hasrin percaya dengan hasil mesyuarat perniagaan ke perniagaan (B2B) yang dilaksanakan Matrade, misi itu akan menyumbang bukan sahaja kepada projek di Nusantara tetapi di seluruh Indonesia.
“Penyertaan 24 syarikat Malaysia hari ini yang berpengalaman, memiliki kualiti, pengiktirafan dan telah membuktikan keupayaan mereka dalam projek di dalam dan luar negara,” katanya.
Sebanyak 43 syarikat pembinaan Indonesia terlibat untuk program B2B dengan rakan perniagaan mereka di Malaysia.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial