AM

Dua Wanita Pandu 4wd Jelajah Afrika

17/12/2023 12:04 PM

Oleh Mohd Afiq Zulkifli

KUALA LUMPUR, 17 Dis (Bernama) -- Dek kerana minat yang mendalam dalam aktiviti mengembara, dua wanita mencabar diri meneroka benua Afrika, benua kedua terbesar dunia, dengan memandu pacuan empat roda (4WD).

Zuraina Ismail, 56, dan Iyra Azhari, 47, yang kini berada di Caprivi Strip, Namibia memulakan pengembaraan melalui jalan darat dari Cape Town, Afrika Selatan, 17 Ogos lepas dengan menggunakan 4WD jenis Toyota Landcruiser Troopy, yang dihantar dengan kargo laut dari Pelabuhan Klang.

Mereka dalam misi penjelajahan ‘Out in Afrika’ yang merangkumi 14 negara di selatan dan timur benua Afrika, bermula dari Cape Town dan sehingga kini telah merentasi enam negara iaitu Afrika Selatan, Eswatini, Mozambique, Zimbabwe, Lesotho dan Namibia dengan jarak pemanduan lebih 15,000 kilometer (km).

Pengembaraan itu dijangka berakhir di Kenya pada awal April tahun depan sebelum mereka meneruskan pengembaraan ke benua Eropah dan Asia untuk pulang ke Malaysia melalui jalan darat.

Bercakap kepada Bernama, Zuraina atau lebih mesra dipanggil Nana berkata mereka berdua tidak menetapkan jadual perjalanan khusus tetapi setiap perancangan akan berpandukan lokasi menarik, keadaan cuaca semasa, jarak perjalanan dan tapak perkemahan untuk bermalam.

“Kami 'slow traveller', tidak semestinya hari-hari kami di atas jalan. Setiap perjalanan kami akan cuba limitkan tidak lebih 300 km atau tidak lebih lima jam pemanduan.

"Ini mengambil kira faktor usia 4WD kami yang telah mencecah 28 tahun," katanya yang mengakui sekali-sekala mereka terpaksa juga memandu sehingga 500 hingga 600 km.

Kos pula ujarnya ditetapkan tidak lebih RM10,000 sebulan meliputi penginapan, makan, minyak, penyelenggaraan kenderaan dan bayaran masuk ke tempat pelancongan.

Nana yang merupakan bekas pengurus kanan di sebuah syarikat berkata antara cabaran utama ialah perlu sentiasa bersedia membiasakan diri dengan perubahan cuaca kerana setiap negara mempunyai cuaca berbeza.

Ceritanya, ketika berada di Zimbabwe suhu mencecah 35 darjah Celcius (°C) , di Afrika Selatan suhu turun mendadak kepada 16°C dan di Namibia suhu melampau melebihi 40°C apabila berada di kawasan gurun, ceritanya.

“Selain itu, memandu di jalan tanah seperti di Namibia yang 80 peratus jalannya ialah jalan tanah menyebabkan debu dan kotoran akan masuk ke dalam 4WD hingga menjadi rutin bagi kami membersihkannya dahulu sebelum tidur,” kata Nana.

Iyra berkata antara pengalaman menakjubkan ialah memandu di safari yang membolehkan mereka melihat lebih dekat haiwan liar yang bebas berkeliaran seperti lazimnya dipertontonkan di saluran National Geographic atau Animal Planet.

Menurutnya, antara safari yang telah dikunjungi setakat ini ialah di Milwane Nature Reserve dan Hlane Royal National Park di Eswatini, Gonarezhou National Park di Zimbabwe dan Etosha National Park, Namibia.

Iyra menjelaskan pelancong dibenarkan memandu kenderaan sendiri di safari berkenaan dengan beberapa syarat, antaranya mengikut laluan yang ditetapkan, tidak keluar daripada kenderaan, tidak terlalu dekat dengan binatang dan hanya bermalam di kawasan perkhemahan digazetkan.

“Di zoo, binatang liar telah dikurung di kandang dan sedia menanti kunjungan manusia, tapi cabarannya berbeza di safari kerana tidak mudah untuk kita mencari atau terserempak dengan binatang bergantung kepada nasib, kesabaran dan selok-belok pengetahuan mengenai binatang yang ada.

“Jadi banyak yang kami boleh klasifikasikan sebagai ‘National Geographic moment' semasa pemanduan sendiri di safari apabila boleh melihat secara dekat tingkah laku binatang liar seperti gajah, badak, singa, zirafah, kuda belang, dubuk, kerbau Afrika dan pelbagai spesies binatang lain di habitat semula jadi mereka,” katanya.

Kisah pengembaraan dua warga Malaysia itu boleh diikuti menerusi laman Facebook Kelana Dunia atau Instagram kelanadunia_7667 yang akan dikemas kini dari semasa ke semasa oleh mereka berdua.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan