AM

Dua Penternak Terima 2,000 Benih Ikan Baung

15/12/2023 06:36 PM

SEREMBAN, 15 Dis (Bernama) -- Dua penternak di Jelebu menerima 2,000 benih ikan baung daripada Institut Penyelidikan Perikanan Glami Lemi (IPP) melalui Pejabat Perikanan Daerah Jelebu hari ini.

Ishak Omar, 70, dari Kampung Ulu Seperi berkata sumbangan seribu benih ikan setiap seorang itu dapat menambah pendapatan dan mengembangkan penternakan ikan yang diusahakannya lebih 10 tahun.

Beliau berkata selain benih ikan baung, IPP Glami Lemi juga pernah memberi benih ikan talapia merah dan udang selain memberi bimbingan serta pemantauan. 

“Benih ikan baung ini perlu diternak hingga usianya lapan bulan sebelum boleh dijual kepada penduduk kampung di sini pada harga kira-kira RM8 sekilogram. 

“Kos penternakan saya tanggung sendiri dengan perbelanjaan satu beg makanan berharga RM70 untuk kegunaan kurang sebulan,” katanya kepada BERNAMA di sini hari ini.

Sementara itu, Abdullah Abd Wahab, 48, turut menerima seribu ribu benih ikan yang disampaikan sendiri oleh Ketua Daerah Perikanan Jelebu, Mohd Azhar Jusoh di kolam ternakan ikannya di Kampung Ulu Klawang hari ini.

Berpengalaman hampir enam tahun dalam bidang ternakan ikan, beliau berkata bantuan diberikan itu  meningkatkan semangatnya untuk lebih serius menceburi bidang tersebut pada masa akan datang.

“Saya buat ternakan ikan secara sambilan kerana masih bekerja di syarikat swasta. Penternakan ikan baung memang ada potensi dan sumbangan ini saya akan usahakan sebaik mungkin di tiga kolam tanah di sini,” katanya.

Dalam pada itu, Mohd Azhar berkata benih ikan baung itu adalah hasil kajian Unit Perikanan Darat IPP Glami Lemi dan diharapkan sumbangan tersebut dapat meningkatkan sosioekonomi penternak serta menyumbang kepada pengeluaran akuakultur di daerah ini.

Beliau berkata benih ikan dibekalkan secara percuma pada saiz satu hingga dua inci kepada penternak bagi pusingan pertama ternakan dan sumbangan seterusnya boleh dipertimbangkan sekiranya penternak mengalami kerugian akibat bencana alam. 

“Pihak kami akan membuat pemantauan tiga bulan sekali bagi memastikan benih ikan diterima dapat membesar dengan baik menerusi pemberian makanan ikan yang betul dan ikan dapat mencapai saiz pasaran pada tempoh yang tepat,” katanya.

-- BERNAMA

 

 


 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan