SEREMBAN, 14 Dis (Bernama) -- Syarikat usaha sama GoAuto Group dan Careplus Group Bhd (Careplus), NexV Manufacturing Sdn Bhd, akan membangunkan kemudahan pembuatan dan pemasangan kenderaan tenaga baharu di Kawasan Perindustrian Chembong, Rembau, secara berperingkat mulai 2024 hingga 2028.
Pengerusi GoAuto Group, Datuk SM Azli SM Nasimuddin Kamal berkata kilang seluas 29.68 hektar itu akan memasang kenderaan jenama produk sendiri iaitu NETA serta membuka platform kepada jenama kenderaan elektrik (EV) lain yang berhasrat melaksanakan pemasangan tempatan (CKD).
Beliau berkata anggaran keseluruhan nilai pembangunan kasar (NPK) projek pembangunan kilang pembuatan dan pemasangan itu serta vendor berjumlah RM600 juta.
“Fasa pertama projek ini akan melibatkan pembangunan bahagian pemasangan pada suku pertama tahun depan. Fasa kedua dan ketiga bermula pada 2026 dan 2028. Produk pertama yang akan dikeluarkan kilang ini adalah model NETA V iaitu pada suku pertama 2025.
“Kami percaya dengan sokongan diberikan oleh syarikat prinsipal dari China, iaitu untuk memiliki barisan produk dan teknologi EV terkini mampu menjadikan kami peneraju EV di rantau ini,” katanya ketika berucap pada majlis pembukaan Careplus Mall di sini, pada Khamis.
Pembukaan itu dirasmikan oleh Menteri Besar Negeri Sembilan, Datuk Seri Aminuddin Harun.
SM Azli berkata projek itu dapat menarik minat pembekal komponen automotif sedia ada dan baharu serta pelabur dari dalam dan luar negara untuk merancakkan lagi industri automotif EV sekali gus membuka peluang pekerjaan dan rantaian perniagaan bagi memenuhi ekosistem yang dibina.
Beliau berkata selari dengan hasrat dan komitmen berterusan kerajaan untuk mengurangkan kadar pelepasan karbon dan meningkatkan EV, pihaknya berazam menjadi antara perintis kepada revolusi industri teknologi hijau terutamanya EV di dalam negara.
“Visi kami adalah meneraju industri EV bagi pasaran tempatan dan ASEAN. Pihak kami menyasarkan sebanyak 85 peratus daripada keseluruhan barisan portfolio produk yang akan dikeluarkan dalam tempoh lima tahun akan datang adalah merupakan kenderaan tenaga baharu," katanya
Beliau berkata terdapat tiga fokus utama kerjasama dengan Careplus iaitu pengimportan EV menerusi syarikat pengimport dan pengedaran EV jenama NETA iaitu Intro Synergy Sdn Bhd, pengedaran EV menerusi NexV Synergy Sdn Bhd dan pemasangan kenderaan tenaga baharu menerusi NexV Manufacturing Sdn Bhd.
Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif Careplus, Lim Kwee Shyan berkata Careplus Mall dibangunkan bagi menyediakan rangkaian EV berserta stesen pengecasan pantas, pusat latihan Pendidikan Teknikal dan Latihan Vokasional (TVET), penyelesaian panel solar bagi kegunaan rumah dan komersial, serta kemudahan bersukan.
Beliau berkata Careplus merupakan syarikat pembuatan sarung tangan getah tempatan sejak 1988, kini meneroka potensi perniagaan dalam bidang teknologi hijau dan tenaga baharu, termasuk kelengkapan solar dan juga EV.
“Careplus Mall mempunyai pusat jualan, servis, alat ganti dan baik pulih bagi EV jenama NETA, peralatan kepada penyelesaian panel solar bagi kegunaan rumah dan komersial,” katanya.
Ia juga merangkumi beberapa perniagaan berkaitan seperti Gentari yang akan memasang enam unit stesen pengecasan pantas berkapasiti 180 hingga 250kW dan dijangka siap pada suku kedua 2024.
Aminuddin berkata usaha sama dua syarikat bagi pembinaan kilang pembuatan dan pemasangan kenderaan tenaga baharu itu dapat merancakkan ekonomi negeri terutama dalam membuka peluang pekerjaan kepada 400 anak tempatan dalam bidang kemahiran.
“Dengan pembinaan kilang itu dan pelaburan sebanyak RM600 juta dari segi NPK, Negeri Sembilan ialah negeri pertama di negara ini yang menempatkan pemasangan EV. Saya juga berharap masyarakat dapat menerima kenderaan ini sebagai satu kenderaan masa hadapan yang baik, inilah teknologi baharu yang perlu diteroka dari semasa ke semasa,” katanya.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial