EKONOMI

Sabah Mahu Teroka Ekonomi Biru Bersama Pelabur Asing - Hajiji

14/12/2023 03:15 PM

KOTA KINABALU, 14 Dis (Bernama) -- Kerajaan Sabah mahu meneroka Ekonomi Biru dengan kerjasama pelabur asing yang mempunyai kepakaran dalam bidang itu, kata Ketua Menteri Datuk Seri Hajiji Noor.

Beliau berkata Ekonomi Biru menjanjikan potensi besar bagi Sabah antaranya dalam bidang perikanan dan akuakultur, perkapalan dan pengangkutan logistik, pelancongan, tenaga boleh baharu, sumber mineral, bioteknologi dan farmaseutikal, serta karbon biru.

Sabah juga melihat potensi ekonomi itu dalam bidang pengurusan sisa dan kawalan pencemaran, kajian dan pembangunan, serta infrastruktur marin, katanya.

“Kerajaan negeri berhasrat meneroka Ekonomi Biru yang bertujuan untuk pembangunan ekonomi, mewujudkan peluang pekerjaan dan meningkatkan taraf hidup rakyat.

“Semasa mengetuai delegasi ke Sidang Kemuncak Global Ekonomi dan Teknologi China (GCET) di (Shenzen) China pada November lepas, saya telah menjemput pelabur untuk meneroka konsep Ekonomi Biru dengan kerajaan Sabah bagi membangunkan sektor pemprosesan makanan.” katanya dalam ucapan merasmikan program SMJ-EKOB 2023 Khazanah Baharu Melalui Konsep Ekonomi Biru di Negeri Sabah Beyond Limits, Unleashing Economy di sini, pada Khamis.

Teks ucapan beliau dibacakan Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Seri Safar Untong.

Hajiji berkata ini memandangkan Sabah mempunyai pantai terpanjang di Malaysia dengan lebih 1,000 kilometer, berpotensi besar untuk penternakan ikan dan hasil laut lain.

Beliau turut meminta pelabur mempertimbangkan pelaburan dalam sektor tenaga merangkumi sumber bahan api fosil dan tenaga boleh baharu seperti solar dan angin di negeri itu.

Justeru, beliau berharap semua pihak yang berkaitan dalam konsep Ekonomi Biru akan bekerja keras untuk menarik lebih ramai pelabur luar termasuk dari China.

“Pada masa lepas, ia hanyalah sebuah konsep dalam ekonomi namun, kini sudah menjadi satu kemestian untuk diteroka. Lebih-lebih lagi geografi Sabah amat strategik, dikelilingi lautan seluas 37,300 kilometer persegi, dengan pelantar benua berkeluasan 116,800 kilometer persegi, dan garis pantai sepanjang 2,383 kilometer.

“Berasaskan khazanah dan kekayaan biodiversiti marin yang dimiliki Sabah, potensinya amat besar. Justeru, kerajaan komited dan mengambil serius pembangunan Ekonomi Biru kerana memahami betapa besar impaknya kepada rakyat, alam sekitar dan masa depan bersama,” katanya.

Hajiji berkata konsep Ekonomi Biru diperkenalkan pada 2012 oleh Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) yang merujuk kepada pemanfaatan secara lestari sumber laut untuk pertumbuhan ekonomi, peningkatan taraf hidup, dan penciptaan pekerjaan di samping menjaga kelestarian ekosistem marin.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan