AM

Konsep Perumahan Inklusif Madani Jadi Teras Pembangunan Kediaman Mampu Milik - PM

12/12/2023 12:04 AM

KUALA LUMPUR, 11 Dis (Bernama) -- Konsep Perumahan Inklusif MADANI akan menjadi teras pembangunan kediaman mampu milik di negara ini, kata Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Beliau berkata ia bermula dengan kerjasama Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) bagi menyediakan rumah untuk pelbagai golongan sasar di ibu kota yang akan turut dilaksanakan bersama agensi lain kerajaan.

“Dalam hal ini, kerajaan komited menjayakan agenda perumahan bagi membolehkan rakyat Malaysia tanpa mengira kumpulan pendapatan mendiami perumahan yang selesa dan harmoni bagi mendukung pembentukan masyarakat MADANI melalui komuniti berkualiti serta kohesif,” katanya di laman Facebook hari ini.

Terdahulu, Anwar mempengerusikan Mesyuarat Majlis Perumahan Mampu Milik Negara Tahun 2023 bagi membincangkan isu perumahan antara Kerajaan Persekutuan, Kerajaan Negeri serta pemain industri yang menyentuh isu nasib rakyat seperti pembinaan dan baik pulih kediaman.

Pada mesyuarat itu, Perdana Menteri berkata beliau bersetuju dengan sasaran penyediaan 500,000 unit rumah mampu milik dalam Rancangan Malaysia Ke-12 selain menekankan kepentingan supaya pencapaian tersebut dapat terus membawa manfaat kepada rakyat.

“Sekali lagi saya telah memberi penekanan kepada usaha mempercepat tempoh kelulusan pembangunan supaya dapat memangkinkan pelaburan dan memperbaiki tahap memudah cara perniagaan di Malaysia. Ini akan menarik dan memudah cara pemaju untuk menyediakan lebih banyak perumahan mampu milik,” katanya.

Mesyuarat itu turut dihadiri oleh Menteri Besar, Ketua Menteri, Exco Perumahan Negeri, Menteri Kabinet serta wakil agensi penyedia perumahan yang terdiri daripada Agensi Kerajaan Persekutuan, Negeri dan Badan Berkanun selain pihak pemaju perumahan swasta.

-- BERNAMA

 

 

 

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan