KUALA LUMPUR, 11 Dis (Bernama) -- Biro Konvensyen dan Pameran Malaysia (MyCEB) yakin dapat menjana pendapatan yang lebih tinggi pada 2024 berbanding RM1.39 bilion yang diperoleh setakat akhir November bagi tahun ini, kata Pengerusinya, Datuk Roslan Abdul Rahman.
Beliau berkata prestasi lebih baik itu mampu dicapai menerusi langkah yang akan dilaksanakan oleh pengurusan baharu MyCEB yang bertujuan mempergiat aktiviti tahun depan.
Bersandarkan barisan pengurusan baharu MyCEB yang diteraju Ketua Pegawai Eksekutif, Azman Tambi Chik dengan pengalaman luasnya dalam industri korporat, agensi di bawah Kementerian Pelancongan Seni Dan Budaya mampu melaksanakan langkah itu sekali gus menyumbang kepada ekonomi negara, katanya.
“MyCEB tahun ini berjaya jana (pendapatan) lebih RM1.39 bilion dari segi kemasukan konvensyen antarabangsa. Saya percaya angka RM1.39 bilion ini bukanlah tidak bagus dan (sesuatu) boleh diusahakan (untuk meningkatkannya).
“Jadi, saudara Azman ada tempoh setahun dan untuk tingkatkan lagi angka itu kita sudah ada perancangan untuk mempergiat aktiviti MyCEB tahun depan,” katanya kepada pemberita selepas majlis suai mesra MyCEB bersama media di sini, pada Isnin.
Ketika ditanya mengenai sasaran MyCEB, Roslan berkata perkara itu masih dalam perbincangan bersama pihak pengurusan.
Beliau berkata selain itu, pihaknya akan membida lebih banyak konvesyen di luar negara untuk diadakan di Malaysia dalam misi menjadikan negara sebagai hab acara perniagaan di rantau Asia Tenggara.
Pada masa ini, MyCEB akan menumpukan negara Timur Tengah, selain China dan India susulan keputusan kerajaan memberi pengecualian visa selama 30 hari untuk pelancong dari dua negara berkenaan mulai 1 Dis, 2023, katanya.
“Perkara ini selari dengan hasrat menteri yang menyarankan MyCEB untuk menumpukan China, India dan Timur Tengah. Itu adalah matlamat utama kita untuk China, India, Timur Tengah memberi lebih impak bagi Malaysia,” katanya.
-- BERNAMA
© 2025 BERNAMA • Penafian • Dasar Privasi • Dasar Keselamatan