AM

Program Jejak Cemerlang Anjuran Pernas Berjaya Tingkat Kadar Lulus Spm Smk Seri Pantai

11/12/2023 08:25 PM

KUALA LUMPUR, 11 Dis (Bernama) -- Program Jejak Cemerlang yang dilaksanakan di bawah inisiatif tanggungjawab sosial korporat (CSR)  Perbadanan Nasional Berhad (Pernas) berjaya meningkatkan kadar lulus mata pelajaran bagi pelajar yang menduduki peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM). 

Ahli Jawatankuasa Eksekutif Pernas Afidah Azwa Abdul Aziz dalam ucapannya berkata program itu yang diadakan di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Seri Pantai di sini sejak 2015 banyak membantu pelajar mengetahui cara dan teknik menjawab peperiksaan dengan tepat dan padat sekali gus membantu mereka mendapatkan keputusan cemerlang.

“Saya difahamkan, melalui penganjuran program-program yang lalu, terdapat peningkatan di dalam peratusan analisis keputusan SPM. Untuk rekod, pada 2022, jumlah pelajar yang lulus setiap mata pelajaran semakin meningkat berbanding tahun-tahun yang lalu,” katanya. 

Beliau berkata demikian ketika menghadiri majlis Jejak Cemerlang 2023 SMk Seri Pantai di Auditorium Tun Rahah, Menara Pernas di sini hari ini. Teks ucapannya dibacakan oleh Ketua Bahagian Pelaburan Pernas Tengku Mohamed Fadhli Tengku Hamzah.

Lebih membanggakan lagi, katanya ada dalam kalangan pelajar yang mengikuti program itu berjaya melanjutkan pelajaran dalam pelbagai bidang dan kemahiran di peringkat universiti atau kolej.

“Saya yakin, kejayaan yang dicapai ini juga adalah hasil kerja keras tenaga kerja SMK Seri Pantai untuk melihat anak didik mereka berjaya dalam peperiksaan.

“Hari ini sekali lagi pelajar-pelajar yang akan menduduki SPM akan berkampung selama dua hari mulai hari ini dan esok untuk mempelajari teknik yang betul bagi menjawab soalan peperiksaan,” katanya. 

Pada tahun ini, katanya Pernas telah melaksanakan pelbagai program CSR menerusi program Pernas Prihatin CSR antaranya Bakul Rezeki, Sumbangan Cermin Mata bersama Focus Point, Back To School.

Pernas merupakan agensi di bawah Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi yang bertanggungjawab dalam pembangunan industri francais negara.

-- BERNAMA

 

 

 

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan