AM

Maxis Berhad, Erth Berjaya Elak Lebih Lima Tan E-sisa Terkumpul Di Tapak Pelupusan Sampah

11/12/2023 07:42 PM

KUALA LUMPUR, 11 Dis (Bernama) -- Gandingan Maxis Berhad (Maxis) dan E-waste Recycling Through Heroes’s (ERTH) dalam kempen kitar semula sisa elektronik (e-sisa) berjaya mengelakkan lebih lima tan e-sisa daripada terkumpul di tapak pelupusan sampah.

Ketua Pegawai Jualan dan Perkhidmatan Maxis Patrick Er berkata semenjak pelancaran kempen Kitar Semula e-Sisa Maxis pada 14 Okt lepas,  Maxis dan ERTH telah mengumpul lebih 2,000 barang e-sisa. 

“Perkongsian berkesan antara kedua-dua pihak juga telah mendapat pengiktirafan antarabangsa dengan memenangi Anugerah Video Kecemerlangan dalam Kelestarian di GSMA M360 Asia Pasifik beberapa bulan lepas,” menurutnya dalam kenyataan hari ini. 

Beliau juga berbesar hati melihat sambutan orang ramai terhadap kempen kitar semula itu yang telah dibina atas kejayaan kempen dalaman syarikat Maxis tahun ini.

“Kami bermula secara kecil-kecilan tetapi melihat momentum yang menggalakkan. Dalam jangka panjang, kami berharap untuk mengembangkan perkhidmatan ini ke negeri lain untuk mewujudkan kesedaran yang lebih besar tentang kitar semula e-sisa dan merekrut lebih ramai orang untuk menyertai kami dalam usaha ini,” katanya. 

Pengasas ERTH Mohamed Tarek El-Fatatry pula berkata susulan kejayaan projek rintis itu, beliau berharap lebih ramai orang di seluruh Malaysia mengamalkan pengitaran semula e-sisa dan membuat perubahan positif untuk alam sekitar. 

“Walaupun e-sisa mewakili hanya peratusan kecil sisa isi rumah, ia menyumbang 70 peratus daripada pencemaran logam berat toksik dalam alam sekitar dan menghasilkan bahaya kesihatan sama seperti kesan plastik,” katanya. 

Menerusi kenyataan sama, Maxis turut menjemput orang ramai untuk menjadi sebahagian daripada kempen kitar semula itu bagi membendung aktiviti pembuangan yang tidak bertanggungjawab di tapak pelupusan sampah. 

Kenyataan itu memaklumkan kempen tersebut mempromosi dan menggalakkan pengitaran semula e-sisa dengan menyediakan perkhidmatan kutipan yang mudah dari premis pilihan pengguna di Lembah Klang, Johor Bahru dan Pulau Pinang.

“Dalam kempen ini, pengguna hanya perlu meminta untuk kutipan e-sisa di laman sesawang Maxis, menyenaraikan barangan mereka untuk dikitar semula dan menyediakan barangan itu untuk pungutan pada tarikh dan masa yang ditetapkan.

"Persatuan penduduk dan pengurusan bangunan juga boleh bekerjasama dengan ERTH untuk menganjurkan sesi kutipan e-sisa di kawasan kejiranan atau kawasan komersial mereka,” katanya. 

Menurut kenyataan itu, pengguna yang menyertai program tersebut boleh menikmati kutipan e-sisa percuma untuk sekurang-kurangnya tiga peranti elektronik atau elektrik terpakai.

“Untuk maklumat lanjut, layari www.maxis.com.my/ewaste/,” menurut kenyataan itu. 

-- BERNAMA 

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan