AM

PERMAISURI AGONG DAHULUI 97 PENERIMA DARJAH, BINTANG KEBESARAN SELANGOR 

11/12/2023 02:10 PM

KLANG, 11 Dis (Bernama) -- Raja Permaisuri Agong Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah mendahului senarai 97 penerima Darjah dan Bintang Kebesaran Selangor sempena ulang tahun Hari Keputeraan ke-78 Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah hari ini. 

Tunku Azizah dikurniakan Darjah Kerabat Selangor Yang Amat Dihormati (D.K.).

Sultan Sharafuddin turut berkenan menganugerahkan Darjah Kerabat Selangor Yang Amat Dihormati (Kelas Kedua) (D.K.II) kepada Ahli Dewan Diraja Selangor Tengku Datuk Setia Putra Alhaj Tengku Azman Shah Alhaj. 

Panglima Angkatan Tentera Jeneral Tan Sri Mohammad Ab Rahman, Ketua Polis Negara Tan Sri Razarudin Husain dan Pengarah Urusan YTL Power International Bhd Datuk Yeoh Seok Hong pula menerima Darjah Kelas Pertama-Darjah Kebesaran Seri Paduka Mahkota Selangor (S.P.M.S.) yang membawa gelaran 'Datuk Seri.' 

Turut dikurniakan darjah kebesaran ialah Setiausaha Kerajaan Negeri Selangor Datuk Haris Kasim dan Perunding Urologi Pusat Perubatan Subang Jaya Profesor Datuk Dr Tan Hui Meng yang menerima Darjah Kebesaran Datuk Setia-Sultan Sharafuddin Idris Shah (S.S.I.S.)(Kelas Pertama), membawa gelaran 'Datuk Setia.' 

Sementara itu, Pegawai Kewangan Negeri Selangor Dr Ahmad Fadzli Ahmad Tajuddin mendahului senarai sembilan penerima Darjah Kebesaran Datuk Paduka Mahkota Selangor (D.P.M.S.)(Kelas Kedua) yang membawa gelaran 'Datuk' bagi lelaki dan 'Datin Paduka' bagi wanita. 

Turut menerima anugerah sama termasuk Duta Besar Malaysia ke Jerman Dr Adina Kamarudin, Ketua Polis Selangor Datuk Hussein Omar Khan, Hakim Mahkamah Rayuan Datuk Collin Lawrence Sequerah dan Pengerusi Jawatankuasa Muzakarah Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Agama Islam Malaysia Datuk Nooh Gadot. 

Penerima lain Exco Kerajaan Tempatan dan Pelancongan Selangor Ng Suee Lim, Timbalan Pengerusi Berjaya Land Bhd Datuk Seri Robin Tan Yeong Ching, Naib Presiden dan Ketua Pengarah Eksekutif United Plantations Bhd Datuk Carl Bek-Nielsen serta Pengurus Besar Royal Selangor International Sdn Bhd Yong Yoon Li.

Istiadat berkenaan turut menyaksikan 13 individu menerima Darjah Kebesaran Datuk-Sultan Sharafuddin Idris Shah (D.S.I.S.)(Kelas Kedua) yang membawa gelaran 'Datuk' bagi lelaki dan 'Datin Paduka' bagi wanita.

Mereka ialah Panglima 10 Briged (Para) Markas 10 Briged (Para) Mejar Jeneral Datuk Khairul Azmizal Ahmad Natal, Ketua Staf Markas Angkatan Bersama Mejar Jeneral Fazal Abdul Rahman, Panglima Wilayah Laut 2 Markas Tentera Laut 2 Laksamana Muda Khir Junaidi Idris, Datuk Bandar Majlis Bandaraya Subang Jaya Mohd Fauzi Mohd Yatim dan Yang Dipertua Majlis Perbandaran Klang Noraini Roslan.

Turut menerima D.S.I.S ialah Pengarah Pejabat Tanah dan Galian Negeri Selangor Dr Yusri Zakariah, Timbalan Mufti Negeri Selangor Profesor Madya Dr Miszairi Sitiris, Timbalan Pengarah Jabatan Pengangkutan Jalan Selangor Ahmad Kamarunzaman Mehat, Ketua Pengarah Jabatan Kemajuan Islam Malaysia Datuk Hakimah Mohd Yusoff dan Ketua Pegawai Eksekutif Ekuiti Nasional Bhd Syed Yasir Arafat Syed Abd Kadir.

Penerima lain Pengerusi Jawatankuasa Penyusunan Semula Hutang Korporat Philip Tan Puay Koon; Ketua Pegawai Pelaburan, Pelaburan Persendirian dan Strategik Permodalan Nasional Bhd Rizal Rickman Ramli serta Ketua Pegawai Kandungan Kumpulan Media Star Bhd Esther Ng Sek Yee.

Selain itu, 15 individu menerima Darjah Kebesaran Setia Mahkota Selangor (S.M.S.) antaranya Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Negeri Selangor Wan Md Razali Wan Ismail serta Pakar Perubatan Patalogi Forensik Hospital Tengku Ampuan Rahimah Dr Nur Ayutimasery Abdullah. 

Tiga belas individu pula menerima Darjah Kebesaran Setia-Sultan Sharafuddin Idris Shah (S.I.S.) termasuk Ketua Polis Daerah Shah Alam ACP Mohd Iqbal Ibrahim serta Ketua Unit Hadis dan Penyelidikan, Kolej Universiti Islam Selangor Dr Mohd Khafidz Soroni dan Pengurus Besar Pemasaran Tabung Haji Travel and Services Nik Zuraini Mohd Khushairi @ Zulkifli. 

Pada istiadat berkenaan, 15 individu turut menerima Darjah Kebesaran Ahli Mahkota Selangor (A.M.S.), 16 menerima Darjah Kebesaran Ahli-Sultan Sharafuddin Idris Shah (A.I.S.), dua menerima Bintang Kecemerlangan Sukan Selangor (B.K.S.) dan tujuh menerima Bintang Perkhidmatan Cemerlang (B.P.C.).

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan