SUKAN

Kuching City Tumbang Di Sarawak, Pdrm Bedil Kelantan

11/12/2023 12:30 AM

KUALA LUMPUR, 10 Dis (Bernama) -- Pemain gantian Arif Shaqirin Suhaimi muncul wira pasukan selepas membantu Kuala Lumpur City FC (KL City) membawa tiga mata selepas menewaskan Kuching City FC (KCFC) 3-2 pada aksi Liga Super 2023 di Stadium Negeri, Sarawak, malam ini.

Bertandang ke tempat lawan, skuad Warga kota tidak menunggu lama sebelum mendahului pada minit ke-19 menerusi pemain kebangsaan Paulo Josue selepas menyempurnakan hantaran T. Saravanan dengan percubaan meleret menewaskan penjaga gol tuan rumah, Wan Muhammad Azraie Wan Teh.

Josue kemudian mengintai peluang sebelum berhasil menyumbang gol kedua KL City pada minit ke-41 sekali gus menghampakan Wan Muhammad Azraie.

KCFC, dibimbing Aidil Sharin Sahak, bagaimanapun berhasil memecah kebuntuan gol menerusi sepakan penalti penyerang import dari Liberia, Abu Kamara untuk menutup babak pertama dengan kedudukan 1-2.

Babak kedua, tuan rumah menyamakan kedudukan menerusi jaringan Yuki Tanigawa pada minit ke-72, namun gol tersebut tidak bertahan lama selepas Arif Syaqirin bangkit meledak gol kemenangan KL City pada minit ke-81.

Selepas ini, KCFC akan menutup kempen Liga Super musim ini berdepan Negeri Sembilan FC (NSFC) di Stadium Tuanku Abdul Rahman sementara KL City akan menentang Sri Pahang FC (SPFC) di laman sendiri.

Sementara itu di Stadium Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ), Petaling Jaya menyaksikan PDRM FC berpesta gol dengan membelasah Kelantan FC 7-2.

Bruno Suzuki menjadi senjata pemusnah buat skuad Sang Saka Biru selepas melakar jaringan hatrik pada minit ke-62, 65 dan minit ke-90.

Empat gol lain PDRM FC dijaringkan James Okwuosa (19’), Izaaq Izhan Yuswardi (masa tambahan), Kyaw Min Oo (59’) dan Iqmal Harun (74’), manakala Kelantan memperoleh gol hasil jaringan Khalaif Naskam (63’) dan Leonardo Rolon (72’).

Kelantan FC selepas ini dijadualkan bertemu Kelantan United manakala PDRM FC akan menutup kempen dengan menentang Selangor FC.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan