AM

Karnival Kerjaya Platform Terbaik Hubungkan Pencari Kerja, Majikan

09/12/2023 03:00 PM

KUALA LUMPUR, 9 Dis (Bernama) -- Karnival Kerjaya yang diadakan sempena Program Setahun Bersama Kerajaan MADANI selama tiga hari di pekarangan Stadium Nasional Bukit Jalil di sini, bermula semalam, platform terbaik dalam menghubungkan pencari kerja dan majikan.

Eemansyah Tan, 33, dari Petaling Jaya, Selangor berkata penganjuran karnival kerjaya itu menjadi peluang terbaik bagi pencari kerja sepertinya yang bergelut mencari peluang pekerjaan selepas diberhentikan akibat pandemik COVID-19, dua tahun lepas.

“Sebelum ini, saya terlibat dalam industri penerbangan selama 11 tahun. Selepas diberhentikan, saya menjadi pemandu e-hailing bagi menampung hidup sebelum mendapat kerja yang lebih stabil.

“Sekarang, saya rasa dunia penerbangan tidak lagi sesuai, jadi saya ingin mencuba nasib dalam bidang perhotelan pula,” katanya ketika ditemui Bernama di khemah khas Karnival Kerja di sini hari ini.

Sementara itu, pencari kerja dari Sepang, Selangor, Muhd Hadri Sadiq Jefry, 30, berkata peluang menghadiri karnival kerjaya adalah perkara yang dinanti-nantikan selepas berhenti kerja bulan lepas.

“Saya mahu mencari peluang baru. Tak kisahlah kerja apapun, saya tak kisah luar bidang pun boleh, saya nak ubah nasib dan cari kerja baharu,” katanya yang juga bekas juruteknik di sebuah syarikat penerbangan.

Pembantu Pengurus Sumber Manusia dan Pentadbir Hotel Seri Pacific Kuala Lumpur Enny Jasmin Abdul Rahman berkata ia adalah platform yang terbaik buat majikan dalam mencari calon sesuai.

“Kami menawarkan lapan jawatan kosong antaranya untuk bahagian Front Office dan Food and Beverage (F&B). Kami menjangkakan menerima 150 hingga 200 penyertaan daripada pencari kerja sepanjang tiga hari karnival ini berlangsung,” katanya.

Pengurus Program Vahtiqa Resources Sdn Bhd Nur Atiqah Ridzuan, 28, pula berkata pihaknya yang berperanan sebagai penyedia latihan mencari syarikat bersesuaian untuk pelatih mereka menjalani latihan industri dan bekerja.

“Alhamdulillah, bila saya berjumpa syarikat (terlibat) dalam Karnival Kerjaya ini, saya terima maklum balas yang positif dan juga agak terkejut kerana sambutan daripada orang ramai sangat menggalakkan,” katanya.

Sementara itu, Ketua Negeri Perkhidmatan Pekerjaan Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur Fadlina Adam berkata lebih 60 majikan dengan 5,000 peluang pekerjaan ditawarkan kepada semua pencari kerja di Lembah Klang.

“Ini adalah antara karnival kerjaya terbesar yang dianjurkan sebelum berakhirnya 2023. Jadi, buat semua pencari kerja, datanglah beramai-ramai, mana tahu ada rezeki nanti,” katanya.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan