AM

Seni Sulaman Tangan Semakin Diminati Anak Muda - Kemas

09/12/2023 12:17 PM

KUALA LUMPUR, 9 Dis (Bernama) -- Seni sulaman tangan yang dahulunya janggal bagi anak-anak muda kini semakin mendapat tempat dalam kalangan golongan itu, berikutan nilai jualan produk yang dihasilkan boleh mencecah ribuan ringgit.

Pemaju Masyarakat Pendidikan Kemahiran Jahitan Jabatan Kemajuan Masyarakat (KEMAS) Kuala Lumpur Sharifah Raudhah Sy Dahalan berkata peralihan minat itu, boleh dilihat daripada penyertaan golongan muda di dalam kelas seni tangan anjuran jabatan itu, yang meningkat setiap tahun.

Kalau dulu, seni sulaman ini didominasi oleh generasi lama, tetapi sekarang ramai anak muda sudah meminatinya malah produk yang dihasilkan dari seni sulaman ini juga lebih kreatif.

“Ia tidak lagi berkisar kepada seni sulaman untuk sarung bantal, cadar tilam dan alas meja sahaja, malah menjangkaui produk seperti beg tangan, sapu tangan dan kotak mas perkahwinan,” katanya ketika ditemui Bernama di reruai Kementerian Desa dan Wilayah, pada Program Setahun Bersama Kerajaan MADANI di sini hari ini.

Sharifah Raudhah berkata ketelitian yang tinggi dalam menghasilkan produk seni sulaman, menyebabkan sesiapa sahaja yang menguasai kemahiran tersebut, boleh menjadi usahawan berjaya berikutan nilainya tinggi di pasaran.

Mengambil kira peluang berkenaan, Sharifah Raudhah berkata KEMAS tidak berfikir panjang untuk mengadakan demonstrasi jahitan sulaman tangan menggunakan benang sulam dan reben, pada program berkenaan bagi mendedahkan orang ramai dengan kemahiran itu.

Sementara itu, tenaga pengajar KEMAS Rafizah Mat Saad yang terlibat demonstrasi berkenaan berkata mempelajari seni sulaman tangan tidak sukar seperti yang disangka, jika memahami perkara asas termasuk penggunaan benang dan jarum yang sesuai dan corak yang mahu dihasilkan.

Beliau berkata di Malaysia, terdapat lebih 20 jenis sulaman tangan antaranya sulam padu, jahitan rantai dan simpul Perancis, namun pemilihan jarum, benang dan fabrik memainkan peranan penting.

“Biasanya kita guna benang DMC Embroidery berukuran satu milimeter, kerana ia sangat berkualiti dan warna tidak mudah luntur, jarum mesti yang berlubang besar dan halus untuk mudah membentuk lubang-lubang kecil pada fabrik,” katanya yang berharap lebih ramai anak muda menguasai seni itu pada masa depan.

Program Setahun Bersama Kerajaan MADANI di pekarangan Stadium Nasional Bukit Jalil diadakan bermula 9 pagi hingga 10 malam selama tiga hari bermula semalam.

Kemuncak program itu merupakan majlis penutupan Program Setahun Bersama Kerajaan MADANI yang akan disempurnakan oleh Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim esok, yang akan turut dihadiri kepimpinan tertinggi kerajaan.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan