JENAYAH & MAHKAMAH

Imigresen Tahan 57 Warga Asing Di Johor

08/12/2023 09:14 PM

JOHOR BAHRU,8 Dis (Bernama) -- Jabatan Imigresen Malaysia Negeri Johor menahan 57 warga asing dalam operasi Ops Sapu di kawasan rumah pangsa di Pasir Gudang di sini hari ini.

Pengarahnya, Baharuddin Tahir berkata dalam serbuan kira-kira 12.20 tengah malam itu seramai 374 warga asing dari Indonesia, Bangladesh, Pakistan, Nepal, India dan Filipina telah diperiksa.

"Lima puluh tujuh individu yang ditahan melibatkan 24 lelaki dewasa warga Pakistan, 13 lelaki dewasa dan lapan perempuan warga Indonesia, lapan lelaki dewasa Bangladesh, tiga lelaki dewasa warga Nepal dan seorang  lelaki dewasa warga India dan kesemuanya adalah dalam lingkungan usia 19 tahun hingga 64 tahun.

Operasi yang dilakukan  seramai 95 orang pegawai daripada Bahagian Penguat kuasa Negeri, Penguat kuasa Cawangan Batu Pahat, Bangunan Sultan Iskandar dan Kompleks Sultan Abu Bakar Jabatan Imigresen Malaysia, Negeri Johor selain turut disertai oleh Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) Negeri Johor," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Beliau berkata serbuan itu dilakukan adalah hasil risikan selama seminggu setelah menerima aduan awam mengenai kewujudan penduduk warga asing yang menimbulkan kegusaran dalam komuniti setempat.

Baharuddin berkata, kesemua yang ditahan dipercayai telah melakukan kesalahan di bawah Seksyen 6(1) (c)    Akta Imigresen 1959/63 iaitu tiada dokumen pengenalan diri dan Seksyen 15(1)(c) akta sama iaitu tinggal lebih masa.

Katanya, mereka juga didapati melakukan lain-lain kesalahan yang melanggar  Akta Pasport 1966 dan Peraturan-Peraturan Imigresen 1963. 

"Kesemua tahanan ditempatkan di Depot Imigresen Setia Tropika untuk siasatan dan tindakan lanjut.

Kita mengucapkan terima kasih kepada orang awam yang telah membuat aduan dan mengambil berat terhadap isu pendatang tanpa izin. Orang ramai digesa menyalurkan maklumat tentang warga asing atau sebarang aktiviti warga asing yang menyalahi undang-undang," katanya.

Beliau berkata operasi penguatkuasaan akan terus giat dijalankan setiap hari bukan sahaja menahan  warga asing malah memutuskan rangkaian jenayah dan aktiviti tidak bermoral yang melibatkan warga asing.

-- BERNAMA

 

 

 

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan