AM

Peruntukan Rm21.2 Juta Bagi Realisasi Tmp2024 Langkah Tepat Perkasakan Pelancongan - Pta

08/12/2023 09:03 PM

IPOH, 8 Dis (Bernama) -- Peruntukan RM21.2 juta menerusi Belanjawan Perak 2024 bagi merealisasikan Tahun Melawat Perak 2024 (TMP2024) dan menyediakan pengalaman pelancongan terbaik merupakan langkah tepat bagi memperkasakan usaha mempromosikan pelancongan negeri.

Pengerusi Persatuan Pelancongan Negeri Perak (PTA) Datuk Mohd Odzman Abd Kadir berkata peruntukan itu juga menggalakkan sektor berkenaan untuk pulih semula selepas pandemik COVID-19.

"Sektor pelancongan adalah satu daripada tunjang utama dalam usaha memacu ekonomi negeri sekali gus memberi manfaat kepada ekonomi rakyat dan kita berterima kasih kepada kerajaan negeri. 

"Sekarang ini banyak negara masih belum pulih sepenuhnya (daripada pandemik COVID-19), jadi yang penting sekarang ini, kita kena membuat satu promosi yang hebat," katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas menghadiri Majlis Pelancaran Novel Cura Si Manjakini oleh Kolej Poly-Tech MARA (KPTM) Ipoh dengan kerjasama syarikat Six Sense Creative (SSSC) di sini hari ini. 

Semalam, Dewan Undangan Negeri Perak sebulat suara meluluskan belanjawan berjumlah RM1.35 bilion yang dibentangkan Menteri Besar Datuk Seri Saarani Mohamad pada Jumaat.

Saarani turut menyatakan daripada RM21.2 juta itu sebanyak RM10 juta disalurkan kepada Tourism Perak iaitu peningkatan RM3 juta berbanding 2023.

Sementara itu, novel Cura Si Manjakini berkenaan mengisahkan pengembaraan seorang pelajar merentasi dua zaman bagi menelusuri susur galur sejarah Kesultanan Melayu Perak.

Pengarah KPTM Ipoh Noor Laili Abdullah berkata pihaknya menjadi penerbit bersama dengan SSSC menghasilkan novel bergenre sejarah, budaya dan tradisi bangsa khusus untuk tatapan golongan remaja bagi membudayakan tabiat membaca. 

"Galakan membaca ini termasuk bagi bahan-bahan bacaan ringan seperti buku fiksyen sejarah Cura Si Manjakini, selain buku-buku akademik dan kursus-kursus program yang perlu dibaca dan ditelaah oleh pelajar. 

"Pendekatan yang lebih santai dan bersesuaian dengan jiwa remaja dijangka dapat menarik minat mereka untuk menghayati sejarah bangsa dan negara," katanya yang turut menyasarkan jualan 500 unit novel pada harga RM10 senaskhah itu di enam cawangan di seluruh Malaysia termasuk Universiti Poly-Tech Malaysia.

-- BERNAMA

 

 


 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan