JENAYAH & MAHKAMAH

Polis Guna Dron Cari Petunjuk Kes Bunuh Zayn Rayyan

08/12/2023 07:41 PM

PETALING JAYA, 8 Dis (Bernama) -- Pasukan penyiasat kes kematian kanak-kanak lelaki autisme, Zayn Rayyan Abdul Matiin, menggunakan dron di sekitar kawasan aliran anak sungai dan belukar di belakang Blok R Apartment Idaman, Damansara Damai, di sini bagi mencari petunjuk baharu kes itu.

Pemantauan Bernama di lokasi kejadian mendapati, pasukan khas berkenaan tiba di lokasi kejadian kira-kira 5 petang sebelum menerbangkan dron untuk mengenal pasti laluan keluar masuk yang digunakan oleh suspek untuk membuang mayat kanak-kanak berusia enam tahun itu.

Selain itu, pasukan penyiasat dilihat turut melakukan rondaan di sekitar kawasan penemuan mayat dan menemu bual beberapa penduduk.

Walaupun keadaan cuaca yang tidak menentu, lokasi kejadian terus menjadi tumpuan media yang berkampung sejak pagi tadi bagi mengetahui dan melaporkan perkembangan terbaharu berhubung kes bunuh yang menyayat hati itu.

Pagi tadi, Ketua Polis Daerah Petaling Jaya ACP Mohd Fakhrudin Abd Hamid turut meninjau kawasan kejadian dan memaklumkan pihaknya telah mengambil keterangan kali kedua daripada ibu bapa semalam, selain keterangan penjaga dan individu pertama yang menjumpai mayat Zayn Rayyan.

Polis menyiasat kes itu mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan selepas hasil bedah siasat menemukan kesan kecederaan pada leher dan tubuh mangsa, dipercayai mempunyai kaitan dengan perbuatan jenayah.

Mayat kanak-kanak malang itu ditemukan terbaring berhampiran aliran sungai yang terletak pada jarak hampir 200 meter dari blok kediamannya di apartmen berkenaan, Rabu lepas.

-- BERNAMA

 

 

 

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan