SUKAN

PEMINAT HARIMAU SELATAN, PENYU 'TAKLUK' STADIUM NASIONAL

08/12/2023 07:01 PM

KUALA LUMPUR, 8 Dis (Bernama) -- Lautan merah-biru dan hitam-putih ‘membanjiri’ Stadium Nasional, Bukit Jalil menjelang pertembungan final Piala Malaysia 2023 yang ditunggu-tunggu antara juara bertahan Johor Darul Ta’zim (JDT) dan Terengganu FC di sini, malam ini.

Setakat 6 petang, cuaca di pekarangan stadium kebanggaan rakyat Malaysia itu mula mendung, namun suasana meriah dengan pelbagai acara serta aktiviti yang menarik perhatian penyokong kedua-dua pasukan, selain kehangatan Program Setahun Bersama Kerajaan MADANI yang turut berlangsung di sini.

Tinjauan Bernama mendapati aspek keselamatan berada pada tahap optimum dengan anggota penguat kuasa dilihat bersiap siaga di sekitar stadium manakala anggota trafik mengawal lalu lintas di sepanjang jalan dan persimpangan utama menuju ke Stadium Nasional.

Pelbagai jualan seperti jersi pasukan, cenderahati, makanan dan minuman di sekitar gelanggang keramat pasukan bola sepak negara itu turut menyemarakkan keadaan menjelang final Piala Malaysia yang mempertemukan kedua-dua pasukan itu buat kali pertama.

Penyokong JDT kebanyakannya hadir mengenakan jersi tuan rumah sambil menggayakan mafela berjalur merah-biru simbolik logo skuad Harimau Selatan manakala penyokong Terengganu tampil dengan pakaian berwarna hitam-putih iaitu warna rasmi skuad Penyu.

Pintu pagar Stadium Nasional dibuka kepada penyokong bermula 5 petang sementara sepak mula perlawanan akhir dijadual pada 9 malam.

Rata-rata peminat yang ditemui membangkitkan kerisauan berkaitan permukaan padang Stadium Nasional yang ketika ini berada dalam keadaan tidak memuaskan sambil berharap tiada sebarang kecederaan serius menimpa pemain.

Penyokong JDT, Ahmad Sufian Idrus, 33, berkata keadaan permukaan padang yang tidak memuaskan pasti akan merencatkan intensiti permainan, namun menaruh harapan tinggi pasukan kesayangannya muncul juara sekali gus mencatat rekod ‘double treble’.

“Saya terkejut bila gambar padang tular semalam kerana keadaan yang teruk, padang yang teruk memang akan buat permainan terjejas, tetapi saya tidak nampak itu jadi alasan JDT tak boleh menang,” kata pekerja sektor swasta berasal dari Pontian itu kepada Bernama.

Pada masa sama, Zikri Razak yang berasal dari Besut, berharap perkara sama tidak akan berulang pada edisi final akan datang.

“Ini tidak sepatutnya terjadi, sebab ini adalah final, selama ini kita bermain di permukaan padang yang baik tetapi apabila sampai di final permukaan padang sebaliknya,” kata pekerja sektor swasta yang menjangkakan Terengganu mampu menundukkan JDT 2-1.

Sebanyak 80,000 penyokong dijangka membanjiri Stadium Nasional malam ini.

JDT merupakan juara tiga kali sejak penubuhan kelab itu pada 2013 manakala Terengganu memburu kejuaraan kedua selepas kali terakhir memenangi pada 2001.

Rekod lima pertemuan terakhir dalam semua pertandingan berpihak JDT yang melakar kemenangan 100 peratus dengan kali terakhir kedua-dua pasukan bertemu berakhir dengan JDT menang 3-1 pada aksi Liga Super di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin, Kuala Nerus di Terengganu.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan