POLITIK

AGONG SEMBAHKAN DK PAHANG KEPADA SULTAN JOHOR, TERIMA DK JOHOR

08/12/2023 06:20 PM

KUALA LUMPUR, 8 Dis (Bernama) -- Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah hari ini berkenan mempersembahkan Darjah Kerabat (DK) Pahang kepada Sultan Johor Sultan Ibrahim Almarhum Sultan Iskandar.

Darjah kebesaran DK Sri Indera Mahkota Pahang Yang Amat Dihormati itu dipersembahkan Al-Sultan Abdullah kepada Sultan Ibrahim pada istiadat yang berlangsung di Dewan Seri Maharaja, Istana Negara, di sini.

Sultan Ibrahim kemudiannya mempersembahkan DK Johor Yang Amat Dihormati Pangkat Pertama (DK1) kepada Al-Sultan Abdullah dan Raja Permaisuri Agong Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah.

Istiadat itu turut disaksikan paduka anakanda Seri Paduka, Tengku Arif Bendahara Tengku Muhammad Iskandar Ri'ayatuddin Shah, Tengku Panglima Raja Brig Jen Tengku Amir Nasser Ibrahim Shah dan Tengku Panglima Perang Tengku Ahmad Ismail Mu'adzam Shah.

Turut hadir pada istiadat itu ialah Menteri Besar Pahang Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail dan Menteri Besar Johor Datuk Onn Hafiz Ghazi.

-- BERNAMA

 

 


 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan