AM

Op Pewa: 265 Kenderaan Disita Sehingga November

08/12/2023 10:02 AM

MELAKA, 8 Dis (Bernama) -- Sebanyak 265 kenderaan disita dalam Operasi Pemandu Warga Asing (Op Pewa) yang dijalankan dalam tempoh 1 Jan hingga 30 Nov lepas.

Pengarah Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Melaka Muhammad Firdaus Shariff berkata daripada jumlah itu, sebanyak 236 kenderaan terdiri daripada motosikal, kereta (23) dan kenderaan barangan (enam) disita dalam operasi berkenaan.

"Antara kesalahan yang dikesan dilakukan pemandu warga asing ialah tiada Lesen Memandu Kompeten (CDL), tiada lesen vokasional (GDL), lesen kenderaan motor (LKM) tamat tempoh, tiada insurans dan salah guna LKM iaitu kenderaan persendirian dijadikan kenderaan barangan.

"Pemandu warga asing yang tertinggi direkodkan melakukan kesalahan dalam Op Pewa berkenaan ialah warga Rohingya iaitu sebanyak 163 orang diikuti Pakistan (63 orang), Bangladesh (29 orang), Indonesia (14 orang) dan India (tiga orang)," katanya kepada pemberita di Lebuh Alor Gajah-Melaka Tengah-Jasin (AMJ) di Malim sini malam tadi.

Beliau ditemui selepas Op Patuh Bersepadu JPJ bersama Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan (JSPT) dan Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK).  

Sementara itu, Muhammad Firdaus berkata sebanyak 4,351 kes melibatkan sembilan jenis kesalahan utama yang sering dilakukan pengguna jalan raya dalam tempoh 1 Jan hingga 30 Nov lepas.

Beliau berkata kesalahan tertinggi direkodkan ialah membawa lebih muatan iaitu sebanyak 1,735 kes diikuti tidak memakai topi keledar dan tali pinggang keledar (1,348), tidak mematuhi lampu isyarat (776), membawa muatan secara bahaya (230), menggunakan telefon bimbit (167), memotong barisan (57), memandu di lorong kecemasan (27), memotong di garisan berkembar (tujuh) dan memandu berterusan di lorong kanan (empat).

"Kebanyakan kesalahan membawa lebih muatan melibatkan kenderaan perdagangan yang boleh mengundang bahaya kepada pengguna jalan raya lain dan tindakan diambil di bawah Akta Pengangkutan Jalan 1987 dan Akta Pengangkutan Awam Darat (APAD) 2010," katanya.

Terdahulu, dalam operasi yang dijalankan bermula 8 hingga 12 tengah malam tadi, beliau berkata seorang pemandu kereta berusia 49 tahun antara tiga individu ditahan untuk pemeriksaan lanjut kerana disyaki memandu di bawah pengaruh alkohol.

Katanya, penunggang motosikal berusia 20 hingga 30-an turut ditahan kerana disyaki positif dadah jenis methamphetamine dalam saringan air kencing yang dijalankan AADK.

"Sebanyak 385 kenderaan diperiksa dalam operasi ini dan 134 daripada kenderaan terbabit diambil tindakan dengan 150 notis atas pelbagai kesalahan dikeluarkan.

“Empat kenderaan iaitu dua motosikal, sebuah bas dan van kilang turut disita kerana tiada lesen memandu, cukai jalan tamat tempoh atau tiada cukai jalan dan tiada perlindungan insurans," katanya.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan